Ejen hartanah mempunyai peranan unik bukan sekadar mengurus jual beli hartanah, malah mereka dalam kedudukan membantu membina legasi keluarga.
Demikian kata Pengerusi Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW) yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Selain itu, mereka sering menjadi penasihat pertama yang dirujuk keluarga Muslim apabila membuat keputusan kewangan penting melibatkan aset paling berharga mereka iaitu rumah.
Bercakap semasa forum Perancangan Legasi Islam 101 – Edisi Hartanah di Auditorium ERA di Toa Payoh pada 8 Mei, Encik Zhulkarnain berkata:
“Bagi ramai keluarga Islam, anda adalah profesional pertama yang mereka rujuk apabila membuat keputusan kewangan terbesar mereka. Ini menjadikan anda pengaruh utama dalam perjalanan legasi mereka.
“Dengan pengetahuan yang tepat, anda boleh membantu memastikan bahawa rumah mereka tidak menjadi punca perselisihan, tetapi saluran untuk barakah.”
Forum dihadiri sekitar 200 hadirin itu disokong oleh Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) dan agensi hartanah ERA, bertujuan memberi karyawan hartanah pengetahuan asas mengenai perancangan legasi Islam termasuk faraid, struktur pemilihan hartanah, serta penggunaan alat perancangan legasi daripada aspek undang-undang dan agama.
Semasa forum tersebut, satu perbincangan panel diadakan yang menampilkan anggota ILPW seperti Timbalan Pengarah Pembangunan dan Dasar Keagamaan (Fatwa), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustazah Raihanah Halid; Pengarah Urusan, Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas; dan ejen hartanah ERA, Cik Nona Kirana.
Ini juga disusuli dengan pembentangan kes sebenar, serta sesi soal jawab.
Ustazah Raihanah berkongsi, antara lain, siapa yang layak menerima bahagian faraid dan cara pembahagian faraid itu dilaksanakan.
Menyentuh tentang salah tanggapan terhadap alat perancangan legasi tersebut, beliau menjelaskan bahawa pembahagian harta pusaka tidak semestinya dilakukan secara automatik berdasarkan nama yang tertera dalam sijil faraid.
“Satu salah tanggapan yang biasa adalah bahawa hasil daripada jualan atau harta pusaka perlu dibahagikan secara automatik mengikut faraid berdasarkan nama yang tertera dalam sijil pewarisan.
“Bagaimanapun, ini tidak semestinya begitu. Ia adalah penting untuk memeriksa dengan klien anda sama ada si mati telah menulis wasiat semasa hayatnya, serta untuk mengambil kira sebarang pinjaman atau dokumen lain yang berkaitan. Hanya selepas perkara ini diselesaikan, bahagian yang baki boleh dibahagikan mengikut faraid,” ujar beliau.
Encik Ahmad Nizam pula menerangkan tentang perbezaan antara prinsip asas dalam pembahagian harta warisan Islam, peraturan pengagihan harta serta pertimbangan praktikal seperti perjanjian pemilikan bersama (Joint Tenancy) dan hak umum (Tenancy-in-Common).
Sementara itu, beberapa peserta seperti ejen hartanah PropNex, Cik Siti Nurhidayah Mohamed Khan, mendapati forum itu bermanfaat dan membuka minda.
Menurutnya, forum itu memberikan pemahaman lebih mendalam tentang terma-terma yang berkaitan dengan pengendalian kes harta warisan seperti hibah dan nuzriah, serta cara aplikasinya dalam keadaan sebenar.
“Bila kita bertemu klien, mereka mempunyai keadaan yang berbeza. Jadi dengan pengetahuan hari ini, kita dapat menanyakan soalan lebih terperinci yang mungkin boleh membantu kita untuk memberikan nasihat lebih bermanfaat berdasarkan keadaan mereka,” ujar beliau.
Ejen hartanah ERA, Cik Champa Lachman Murjani, pula mendapati forum tersebut sangat bermanfaat meskipun singkat, dalam membantu memberikan nasihat yang lebih bernas kepada klien Muslim beliau.
“Sepanjang 25 tahun saya berada dalam industri ini, saya telah berurusan dengan ramai klien Muslim.
“Apabila mereka ingin mendapatkan nasihat tentang undang-undang pewarisan, saya berasa panik kerana saya tahu saya bukan orang yang tepat untuk memberi nasihat tersebut.
“Namun, dalam industri saya, saya rasa kami perlu menguasai semua perkara dengan lebih baik dan memberi maklumat yang betul kepada klien.
“Jadi, saya dapati forum ini sangat baik dan pengajaran yang saya ambil dari sini adalah saya perlu tahu lebih banyak lagi,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg