Tidak semua pasangan berpeluang untuk menyaksikan majlis persandingan mereka diserikan dengan kehadiran selebriti.
Namun, bagi Encik Muhammad Rasyid Kamarudin, 29 tahun, dan isterinya Cik Nur Amirah Jumari, 27 tahun, detik manis itu menjadi kenyataan apabila penyanyi tempatan terkenal, Imran Ajmain, membuat kejutan pada hari persandingan mereka.
Pasangan itu baru-baru ini bersanding pada 29 September di ruang acara, Amaris D Arena, yang terletak di Upper Jurong Road.
Satu video tentang persembahan Imran di hari persandingan mereka itu menjadi tular dan kini mendapat lebih 9,000 tanda suka atau ‘like’ dan hampir 90 komen.
Dalam video tersebut, Encik Rasyid kelihatan terkejut dan menangis apabila Imran memasuki dewan walimatulurus untuk memulakan persembahan nyanyiannya.
Video itu dimuat naik oleh Encik Syed Aqil, seorang juruvideo dari syarikat fotografi & videografi perkahwinan, ‘inthemoment’.
Dalam satu panggilan telefon kepada Berita Harian (BH), Cik Amirah berkata beliau memutuskan untuk mengundang Imran ke hari perkahwinan mereka sebagai satu kejutan buat suaminya.
Menurutnya, idea itu tercetus pada awal 2024 apabila pasangan itu menghadiri konsert Imran di Panggung Victoria pada 12 Januari.
“Suami saya belum pernah ke konsert jadi saya membawanya ke konsert Imran. Di konsert itu, Imran kongsi pengalamannya buat persembahan secara mengejut di satu majlis perkahwinan.
“Apabila saya mendengar perkongsiannya, saya terus dapat idea untuk memberi kejutan kepada suami saya pada hari persandingan kami,” jelas Cik Amirah.
Selepas konsert itu tamat, beliau dengan segera menghubungi pengurus Imran melalui pautan di akaun Instagram Imran, serta merancang segalanya dengan bantuan pengapitnya.
Cik Amirah berkongsi bahawa hanya beliau dan keempat-empat pengapitnya, yang terdiri daripada rakannya, tahu tentang rancangan tersebut.
“Keluarga saya dan keluarga suami saya juga tidak tahu (tentang persembahan Imran), jadi saya terpaksa simpan rahsia ini untuk masa yang lama, tetapi ia cukup meriah!
“Ketika Imran melangkah masuk, semua orang terkejut. Melihat suami saya menangis kerana terharu, itu adalah saat yang sangat bermakna buat saya,” ujarnya.
Semasa majlis perkahwinan Encik Rasyid dan Cik Amirah, Imran mendendangkan dua lagu popularnya, Selamat Ulang Tahun Sayang dan Seribu Tahun, yang disifatkan penyanyi itu sebagai amat sesuai untuk pasangan muda.
Menurut Cik Amirah, majlis perkahwinannya bertukar menjadi “konsert mini” apabila hadirin mengeluarkan telefon mereka untuk merakam persembahan Imran dan bernyanyi bersama.
Cik Amirah berkata:
“Apabila anda mencintai seseorang, anda akan mencari jalan untuk membuat sesuatu yang istimewa untuk mereka.
“Bagi saya, wang bukan segalanya. Saya tidak kira berapa saya perlu belanjakan, apa yang penting adalah kebahagiaan pasangan saya.”
Kedua-dua Encik Rasyid dan Cik Amirah, yang bekerja sebagai penjawat awam, baru pulang daripada berbulan madu selama sembilan hari di Korea Selatan, meluangkan masa di Busan dan Seoul.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg