Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu butang kecemasan: MOH siasat kelemahan respons flat warga emas
Penghuni Harmony Village@Bukit Batok tekan butang kecemasan setelah jatuh, ambulans tiba lebih 2 jam kemudian
Isu butang kecemasan: MOH siasat kelemahan respons flat warga emas
Kementerian Kesihatan (MOH) telah meminta Vanguard Healthcare, pengendali kemudahan perumahan awam berkonsepkan kehidupan dibantu pertama di Singapura, agar mengenal pasti punca masalah selepas seorang wanita berusia 85 tahun menekan butang panggilan kecemasan namun tiada bantuan tiba.
Wanita itu terjatuh di bilik mandi dan mengalami kecederaan pada bahagian pinggulnya pada 2 September.
Ambulans dipanggil ke Harmony Village @ Bukit Batok lebih dua jam selepas kejadian, hanya selepas jirannya terdengar beliau memanggil minta tolong.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 6 Oktober, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, memohon maaf kepada wanita itu.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Saya faham tekanan yang dialami beliau dan keluarganya akibat kejadian ini,” katanya.
Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Andre Low, bertanya tentang piawaian perkhidmatan seluruh sistem yang mengawal tindak balas kecemasan 24 jam di Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA), dan sama ada kementerian akan mewajibkan pemeriksaan bebas.
Menurut Encik Ong, CCA menyediakan sokongan penjagaan masyarakat dan penjagaan di rumah, bukan perkhidmatan klinikal atau perubatan. Oleh itu, ia tidak dikawal di bawah Akta Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan.
Sebaliknya, MOH menetapkan syarat pemberian khidmat melalui perjanjian tahap perkhidmatan dengan pengendali. Antaranya, bantuan kecemasan mesti diberikan 24/7 secara pantas, cekap dan profesional.
Walaupun Vanguard ialah syarikat swasta di bawah MOH Holdings, ia dijangka memenuhi sepenuhnya keperluan perjanjian tahap perkhidmatannya.
Sebarang pelanggaran ditangani secara adil dan bebas – sama seperti penyedia perkhidmatan lain, tambahnya.
Encik Ong berkata selepas kejadian itu, MOH mengarahkan Vanguard menjalankan analisis secara rasmi.
Beliau menambah bahawa syarikat itu hampir selesai memeriksa butang panggilan kecemasan di Harmony Village.
Syarikat itu juga telah melantik perunding bebas untuk menyemak kejadian tersebut dan susunan tindak balas kecemasannya.
Butang panggilan kecemasan merupakan sebahagian daripada pakej perkhidmatan asas yang wajib dibayar penghuni CCA. Pakej itu turut merangkumi bantuan urusan harian seperti pembaikan rumah.
MOH akan meneliti penemuan semakan itu apabila siap, kata Encik Ong.
Kementerian akan mengenal pasti punca masalah, termasuk sama ada terdapat kelemahan pada peralatan, prosedur operasi, susunan tindak balas atau penyeliaan.
“Jika kelemahan disahkan, kami akan mewajibkan Vanguard membetulkannya dan melaksanakan langkah penambahbaikan yang perlu,” katanya.
Ini termasuk mempertimbangkan sama ada piawaian perkhidmatan lebih khusus, jaminan bebas tambahan atau keperluan pelaporan seluruh sistem diperlukan. Langkah itu akan diperkukuh jika perlu, tambahnya.
Vanguard Healthcare dalam kenyataan pada 24 September berkata ia telah menjalankan semakan awal bersama vendor butang panggilan itu dan mengenal pasti masalah teknikal yang “mungkin menjejas penghantaran isyarat daripada butang panggilan tersebut kepada kakitangan Vanguard Healthcare”.
Pemangku pengarah perkhidmatan penjagaan masyarakat di Vanguard Healthcare, Encik Jason Chan, berkata syarikat itu telah memeriksa butang panggilan kecemasan di seluruh Harmony Village dan memperkukuh prosedur tindak balas bersama kakitangannya.
Anak perempuan wanita itu, Cik Mary Aw, berkata ibunya, Cik Soh Hock Lye, terjatuh di bilik mandi dan menekan butang panggilan kecemasan di tandas.
Apabila Cik Soh sedar tiada sesiapa datang, beliau memanggil minta tolong, yang menarik perhatian seorang jiran.
Cik Aw berkata ibunya menjalani pembedahan pinggul pada 3 September dan masih di hospital.