Topik diikuti
Pergi ke BHkuUmur layak mohon apartmen penjagaan diturunkan kepada 55 tahun
Umur layak mohon apartmen penjagaan diturunkan kepada 55 tahun
Bayaran pakej khidmat asas turut dikurangkan antara 18 dengan 75 peratus; 260 unit baharu ditawarkan di Toa Payoh pada Okt 2026
Umur layak mohon apartmen penjagaan diturunkan kepada 55 tahun
Warga emas berusia 55 tahun dan ke atas akan dapat memohon flat berkonsepkan hidup berbantu, juga dikenali sebagai Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA), bermula daripada senarai jualan Flat Bina Ikut Tempahan (BTO), pada Oktober 2026.
Buat masa ini, warga emas perlu berusia sekurang-kurangnya 65 tahun untuk layak memohon flat sebegitu, yang dilengkapi dengan kemudahan mesra warga emas seperti bilik air mesra kerusi roda, serta perkhidmatan kesihatan dan masyarakat yang berharga sekitar $159 sebulan.
Bayaran bagi pakej perkhidmatan asas, yang perlu dibayar oleh penduduk merangkumi perkhidmatan penjagaan serta sokongan, akan turut dikurangkan sebanyak 18 hingga 75 peratus.
Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), berkata dalam satu kenyataan bersama pada 13 Julai, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha pemerintah dalam memperluas pilihan perumahan dan penjagaan bagi warga emas, seiring pelancaran Kejiranan Sihat Menua (AWN).
Warga emas akan mempunyai lebih banyak pilihan perumahan, iaitu rumah flat fleksi dua bilik dengan pajakan pendek serta CCA.
Penurunan kelayakan umur itu, yang turut digunakan untuk CCA dalam senarai Jualan Baki Flat, juga akan memberi mereka lebih banyak masa untuk merancang lebih awal, kata kenyataan itu.
Pada Oktober, sekitar 260 unit flat berkonsepkan hidup berbantu akan ditawarkan di Toa Payoh dalam sebuah projek bersebelahan stesen MRT Caldecott.
Setakat ini, HDB telah melancarkan lima projek dengan flat sebegitu di Bukit Batok, Queenstown, Bedok, Geylang dan Sengkang.
Kenyataan itu menambah, skop perkhidmatan dalam CCA mulai 2026 akan diperkemas, menjadikan pakej perkhidmatan asas lebih berpatutan, memandangkan kos operasi dan pentadbiran akan dikurangkan.
MOH akan turut memberi subsidi pada komponen pakej yang serupa dengan skim Penjagaan Jangka Panjang (LTC) nasional yang bersubsidi pada masa ini.
Pemohon yang dinilai tidak berupaya melakukan sekurang-kurangnya satu kegiatan kehidupan harian akan layak menerima subsidi itu.
Penduduk CCA yang dilancarkan sebelum 2026 akan menikmati pengurangan sebanyak 18 hingga 75 peratus pada yuran bulanan pakej perkhidmatan asas mereka, katanya.
