Masa depan pekerjaan di tengah-tengah pencerobohan kecerdasan buatan (AI), keperluan perumahan bagi keluarga yang semakin membesar serta sokongan bagi mereka yang menjaga ibu bapa lanjut usia antara isu yang mendapat perhatian dalam dua sesi dialog pasca-Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) pada 22 dan 23 September. Kededua sesi itu dihadiri lebih 400 warga Melayu/Islam. Sesi pertama yang membincangkan isu-isu secara umum diketuai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad dan dihadiri Anggota Parlimen (AP) seperti Dr Wan Rizal Wan Zakariah, Encik Sharael Taha dan Cik Mariam Jaafar. Sesi kedua pula diha ketuai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam serta AP, Cik Nadia Samdin dan Encik Saktiandi Supaat. Berita Harian (BH) menelusuri beberapa perkara yang diutarakan.

Jaminan pekerjaan dan AI

Kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap pekerjaan merupakan antara perkara yang menarik perbincangan paling hangat, khususnya mengenai cabaran yang dihadapi pekerja untuk mempertingkat kemahiran mereka apabila sesetengah pekerjaan berubah atau tidak lagi diperlukan.

Encik Zaqy berkata bahawa kesan teknologi kepada tenaga kerja bukan sesuatu yang baharu dan pekerja yang memahami teknologi baru berada dalam kedudukan lebih baik untuk menyesuaikan diri.

“Dahulu kita ada kilang-kilang besar, tetapi kini kita mempunyai kilang yang semakin diautomasikan. Jadi, jenis pekerjaan juga berubah.

“Teknologi akan terus mengubah industri, jadi kita juga perlu menukar kemahiran kami dan mencari peluang pekerjaan baharu,” katanya.

“Anda mungkin tidak kehilangan pekerjaan kepada AI, tetapi anda boleh kehilangan pekerjaan kepada seseorang yang lebih memahami cara menggunakan AI.

“Sebagai contoh, seseorang yang tahu menggunakan ChatGPT untuk mendalami sesuatu subjek atau meneroka ilmu baharu mungkin dapat bekerja dengan lebih pantas dan lebih bijak.

“Jadi, persoalannya bukan mengenai AI semata-mata, tetapi siapa yang tahu menggunakannya dengan lebih baik,” katanya.

Dalam ucapannya di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong menyentuh perubahan pesat teknologi dan menegaskan bahawa pekerja yang terjejas oleh perubahan ekonomi tidak akan dibiarkan menghadapinya sendirian.

Perumahan untuk keluarga yang membesar

Keperluan perumahan keluarga muda - tempat tinggal yang dimampui dan yang memadai menampung semua keluarga - turut ditimbulkan.

Sebahagian peserta pula menyuarakan harapan agar pemerintah mengadakan lebih banyak flat lebih besar bagi keluarga yang mempunyai tiga atau lebih anak.

Memberi respons, Dr Wan Rizal berkata tanah perumahan terhad dan terdapat pertimbangan antara membina lebih banyak flat yang lebih besar dengan menyediakan rumah kepada seramai mungkin pasangan dalam tempoh lebih singkat.

“Selepas Covid-19, kami juga berdepan dengan keadaan apabila pembinaan rumah tertunggak. Ini memberi kesan kepada bekalan rumah selepas itu. Jadi objektif kami adalah untuk memastikan semua orang dapat rumah.

“Kalau kami mahu memberi rumah kepada seramai mungkin pasangan dalam masa yang singkat, kita perlu membina rumah yang lebih kecil dahulu. Kalau semuanya dibina lebih besar, tidak semua orang akan dapat rumah.

“Kalau kita mahu semua pasangan mempunyai rumah, kita perlu bermula dengan rumah yang lebih kecil,” katanya.

Beliau merujuk kepada beberapa langkah pemerintah untuk menyokong keluarga yang ingin mempunyai lebih ramai anak, antaranya sokongan tambahan bagi keluarga besar serta peluang tambahan bagi keluarga pemohon kali pertama untuk diundi dan mendapat flat, mengikut bilangan anak yang dimiliki atau bakal dilahirkan.

Bapa empat anak berusia antara 10 tahun dengan lapan bulan, Encik Muhammad Munir Ahmad, menyokong cadangan supaya pemerintah menambah pilihan rumah lebih besar, mungkin seperti flat 3Gen, bagi keluarga yang mempunyai tiga anak atau lebih.

Bapa empat anak, Encik Muhammad Munir Ahmad, berharap sokongan bagi keluarga lebih besar dapat mengambil kira keperluan jangka panjang, termasuk pilihan perumahan yang sesuai dan bantuan apabila anak-anak semakin membesar.
Bapa empat anak, Encik Muhammad Munir Ahmad, berharap sokongan bagi keluarga lebih besar dapat mengambil kira keperluan jangka panjang, termasuk pilihan perumahan yang sesuai dan bantuan apabila anak-anak semakin membesar. - Foto BH oleh KHALID BABA

Menurutnya, pilihan lain seperti membeli flat jualan semula yang lebih berusia boleh menjadi lebih mahal, selain melibatkan kos ubah suai yang tinggi.

“Kalau kita mahu membesarkan keluarga, kita perlu lihat apakah langkah atau bantuan yang boleh diberikan pemerintah untuk menyokong keluarga dalam jangka panjang.

“Cuti penjagaan anak dan Bonus Bayi memang sangat membantu dan kami menghargainya. Tetapi apabila anak-anak semakin besar, kita juga perlu fikir tentang keperluan mereka pada peringkat seterusnya.

“Bagi kami, mempunyai anak adalah satu rancangan jangka panjang. Jadi sokongan itu bukan sahaja ketika anak masih kecil, malah bagaimana kita boleh membantu mereka membesar, berjaya dan mencapai cita-cita mereka pada masa depan,” katanya.

Sokongan bagi yang menjaga ibu bapa lanjut usia

Cabaran yang dihadapi golongan tersepit - ibu bapa yang menguruskan anak-anak dan menjaga orang tua juga dibincangkan.

Di NDR2026, Encik Wong mengumumkan peruntukan cuti jagaan kanak-kanak akan ditambah bagi ibu bapa dengan anak berusia 12 tahun dan ke bawah, dengan keluarga lebih besar menerima lebih banyak cuti.

Beliau juga menggesa majikan melahirkan sekitaran kerja yang mesra keluarga untuk menyokong keibubapaan.

Penduduk Bukit Panjang, Cik Salmah Mansor berkata beliau faham langkah pemerintah untuk menyokong keibubapaan, tetapi melahirkan harapan supaya pemerintah mempertimbangkan tambahan hari cuti bagi golongan yang menjaga orang tua.

Naib Pengerusi MAEC Cashew-Senja yang juga Ahli Lembaga Pentadbir Masjid Al-Khair, Cik Salmah Mansor, berharap pemerintah dapat mempertimbangkan keseimbangan dari segi cuti bagi mereka yang perlu menjaga ibu bapa yang sudah berusia.
Naib Pengerusi MAEC Cashew-Senja yang juga Ahli Lembaga Pentadbir Masjid Al-Khair, Cik Salmah Mansor, berharap pemerintah dapat mempertimbangkan keseimbangan dari segi cuti bagi mereka yang perlu menjaga ibu bapa yang sudah berusia. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Sebagai penjaga, kita mahu dapat melaksanakan tanggungjawab menjaga ibu bapa dengan sebaik mungkin. Jika tidak, ramai yang terpaksa menggunakan cuti tahunan mereka sendiri, sedangkan jumlahnya juga terhad,” kata beliau, yang berkhidmat sebagai Naib Pengerusi MAEC Cashew-Senja dan juga aktif sebagai ahli lembaga pentadbir Masjid Al-Khair.

Sementara itu, Dr Wan Rizal berkata menambah jumlah cuti bukan sesuatu yang mudah kerana cuti berkait dengan kos yang ditanggung majikan.

Namun, keutamaan telah diberikan kepada usaha meningkatkan kadar kelahiran memandangkan kadar kesuburan keseluruhan masih rendah, kata beliau.

“Kalau kita terus menambah cuti, antara cabarannya ialah cuti berkait rapat dengan gaji dan kos kepada majikan. Setiap kali kita berbincang dengan syarikat bagi pihak pekerja, dua isu yang sering timbul ialah gaji dan cuti.

“Bagi pihak majikan, perkara ini akhirnya berkait dengan kos dan keuntungan, jadi bukan mudah untuk menambah cuti,” ujar Dr Wan Rizal.

Pada masa yang sama, Dr Wan Rizal berkata isu yang dihadapi golongan yang menjaga warga emas adalah nyata dan mungkin satu perkara yang boleh dimulakan pada masa ini ialah mengubah cara kita melihat pekerjaan dan aturan kerja seperti pengaturan kerja fleksibel,” katanya.

M³+ yang penuhi keperluan komuniti

Keberkesanan M³+ turut menjadi tumpuan, termasuk bagaimana rangkaian itu boleh mengelakkan keadaan ‘program bertindih’, di mana pertubuhan berbeza menawarkan program serupa tanpa laluan atau hasil yang jelas.

Program M³+, yang dilancarkan pada 2026, memperluas usaha M³ - yang diasaskan oleh MENDAKI, Muis dan MESRA - untuk antara lain menghubungkan masyarakat Melayu/Islam dengan khidmat yang disediakan pertubuhan Melayu/Islam dan juga program di peringkat nasional.

Dr Wan Rizal berkata mengelak pertindihan program antara objektif M3+ dan pihak terlibat perlu bersatu hati dan bergerak bersama-sama supaya memenuhi matlamat.

“Jadi, apa yang kita mahu ialah menggabungkan semua pihak dan, kalau boleh, mengadakan bengkel serta seminar bersama untuk melihat bagaimana kita boleh menangani isu-isu yang dibangkitkan,” kata beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti