Program sedia ada oleh badan Melayu/Islam, seperti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), melengkapi pakej sokongan keluarga yang dipertingkat dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Ia seperti program ‘Achieving Resilient and Inspiring Families’ (Mewujudkan Keluarga yang Berdaya Tahan dan Memberi Inspirasi – Arif), oleh Yayasan Temasek untuk membimbing pasangan Muslim meniti alam keluarga dan keibubapaan, serta inisiatif persiapan perkahwinan, Bersamamu.

Program tersebut, bersama sokongan daripada masjid dan rakan-rakan gerakan M Kuasa Tiga+ (M³+) yang lain, dapat menyediakan lapisan sokongan tambahan bagi keluarga Melayu/Muslim yang mungkin memerlukan bantuan kewangan atau sosial yang lebih besar, tambah beliau.

“Kita melihat kerjasama antara masjid-masjid, sukarelawan, MUIS, dan juga pemerintah untuk menyediakan pelbagai lapisan sokongan kepada keluarga yang mungkin memerlukan lebih banyak sokongan.

“Ini terutama mereka yang mempunyai kesulitan dalam menampung kos sara hidup, menghantar anak mereka ke sekolah dan memerlukan sokongan sosial daripada kami.

“Kita juga berharap M³+ dapat berkembang lagi. Jika kita mempunyai lebih banyak badan Melayu/Islam yang membantu, kita akan dapat memperluaskan program-program ini,” kata Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan) dan penasihat M³+.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama media di Hab Islam Singapura di Braddell Road pada 24 Ogos, sehari selepas NDR 2026 yang disampaikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Dalam NDR kali ini, Encik Wong mengumumkan beberapa langkah sokongan keluarga yang dipertingkatkan, termasuk lebih banyak cuti penjagaan anak (CCL) bagi ibu bapa muda bekerja yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berumur 12 tahun dan ke bawah.

Ini sedang Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Singapura susut ke paras terendah, sebanyak 0.87 pada 2025.

Menurut Encik Zaqy, langkah terkini pemerintah itu tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut TFR yang semakin merosot.

“Tetapi, ia dari segi bagaimana kita dapat memberi keselesaan, menolong keluarga membesarkan anak di Singapura dengan lebih baik dan lebih senang... dan tidak perlu terlalu khuatir mengenai kos kehidupan untuk membesarkan anak-anak di Singapura,” ujar Encik Zaqy.

Antara insentif lain untuk keluarga yang diumumkan semasa NDR termasuk pengurangan yuran di pusat jagaan kanak-kanak dan bayi yang disokong pemerintah, masing-masing sehingga $150 dan $300 sebulan.

Pengurangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2030, dengan keluarga berpendapatan lebih rendah terus membayar yuran yang lebih berpatutan.

Selain itu, hampir $70,000 akan diperuntukkan bagi setiap kanak-kanak warga Singapura sehingga usia 17 tahun dalam Pakej Bantuan Anak SG, yang menggantikan Skim Bonus Bayi dan Skim Keluarga Besar sedia ada.

Menyentuh tentang tambahan CCL, Encik Zaqy berkata ia dapat membantu keluarga, khususnya golongan ibu bapa muda, mencapai keseimbangan antara pekerjaan dengan keluarga.

Menyifatkannya sebagai satu perkembangan baik, beliau menambah:

“Mereka mahu meluangkan masa untuk membesarkan anak-anak mereka. Pemerintah telah menyahut idea-idea yang telah diberikan oleh para Anggota Parlimen dan juga masyarakat.

“Saya berharap (sokongan ini) dialu-alukan oleh ibu bapa muda kita supaya mereka tidak rasa bahawa mereka disekat jika mereka mempunyai ramai anak di Singapura.”

Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, atas pengiktirafan dan galakan yang diberikan kepada kepimpinan Melayu di Singapura – bukan sahaja kepada Anggota Parlimen (AP), malah merangkumi seluruh barisan kepimpinan badan-badan Melayu/Islam (MMO) dan institusi kemasyarakatan kita. Apa yang penting adalah untuk kita meneruskan perjalanan ini, dan membangunkan asas yang telah dibina oleh generasi terdahulu.

Kita tidak hanya melihat isu ini, atau dasar ini, dari segi kadar kelahiran bayi. Tetapi, ia dari segi bagaimana kita dapat memberi keselesaan, menolong keluarga membesarkan anak di Singapura dengan lebih baik dan lebih senang... dan tidak perlu terlalu khuatir mengenai kos kehidupan untuk membesarkan anak-anak di Singapura.

Apa yang mungkin tidak selalu dibincangkan adalah kepentingan warisan dan budaya Melayu kepada Singapura. Bahasa Melayu kita adalah bahasa kebangsaan, dan warisan kita adalah sebahagian daripada sejarah Singapura juga. Bagi saya, kita harus menegakkan dan memberi keteguhan kepada bahasa ibunda kita, warisan kita, budaya kita. Sedang kita terus berkembang dan berjaya serta mencapai kejayaan, kita juga perlu terus yakin dalam identiti, dalam budaya kita.