Kementerian Kesihatan (MOH) akan mengambil “tindakan penguatkuasaan atau kawal selia” ke atas doktor atau doktor gigi yang melanggar undang-undang yang mentadbir amalan mereka.
MOH, dalam satu kenyataan pada 28 Mei, berkata pengamal perubatan yang melanggarnya juga akan dirujuk kepada badan pemerhati profesional masing-masing untuk tindakan lanjut.
Ia bagaimanapun tidak menyebut tindakan yang mungkin diambil.
MOH membuat kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) mengenai surat pekeliling yang dihantar kepada semua doktor pada 22 April.
Surat tersebut mengingatkan mereka tentang kewajipan profesional apabila mengeluarkan sijil perubatan (MC).
Kementerian itu telah menghantar surat pekeliling tersebut selepas menerima maklum balas daripada majikan, agensi pemerintah dan sekolah, bahawa dengan adanya khidmat teleperubatan, terdapat MC yang ‘berlebihan’ dikeluarkan.
Khidmat teleperubatan membolehkan pesakit mendapatkan rawatan dari jauh, contohnya, pesakit boleh ‘berjumpa’ doktor melalui sembang video atau bercakap dengan jururawat melalui telefon.
Maklum balas tersebut juga menyatakan bahawa MC diberikan kepada orang yang tidak sakit dan kepada mereka yang tidak sihat mendapat MC berulang melalui telekonsultasi, tanpa sebarang pemeriksaan fizikal oleh doktor.
Dalam surat pekeliling itu, MOH juga berkata pihaknya merancang meminda Akta Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan, bagi mewajibkan setiap MC yang dikeluarkan untuk pesakit merangkumi nama dan nombor pendaftaran perubatan bagi doktor yang mengeluarkan sijil tersebut.
ST telah bertanya kepada MOH pada 9 Mei sama ada ia mempunyai data mengenai dakwaan penyalahgunaan MC, atau ia hanya maklum balas berbentuk anekdot semata-mata.
Tanpa mengetahui betapa besarnya masalah itu, sukar untuk memutuskan tindakan yang perlu diambil, kata ST dalam ulasannya pada 27 Mei.
ST turut bertanya sama ada pihak kementerian mempunyai bukti MC yang dikeluarkan oleh individu yang bukan doktor atau doktor gigi.
Dalam jawapannya pada 28 Mei, MOH berkata:
“MOH telah menerima maklum balas mengenai cara sijil perubatan dikeluarkan.
“Maklum balas datang daripada pelbagai majikan, agensi pemerintah dan sekolah.
“Kementerian sedang menyemak maklum balas dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan atau kawal selia, jika mana-mana pemegang lesen didapati melanggar Akta Pendaftaran Perubatan, Akta Pendaftaran Pergigian atau Akta Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan, peraturan dan/atau syarat lesen.”
Menjelaskan cadangan pindaannya kepada Akta Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan yang memerlukan doktor atau doktor gigi untuk “menyediakan penjagaan perubatan atau pergigian... kepada pesakit” apabila mengeluarkan MC, kementerian itu menambah:
“Keperluan baru yang dicadangkan akan merangkumi sebarang bentuk penjagaan perubatan atau pergigian yang diberikan kepada pesakit, dan tidak dihadkan oleh cara di mana ia disediakan.”
Laporan bahawa MOH bercadang mengetatkan peraturan pengeluaran MC telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan majikan dan pekerja.
Sesetengah orang berkata mereka takut jikalau sebahagian pekerja yang benar-benar sakit mungkin tidak diberi MC, manakala majikan, yang terpaksa menerima MC, berkata telekonsultasi telah menyebabkan lebih banyak MC dikeluarkan.
Ada juga membayangkan bahawa kakitangan mungkin mendapatkan MC apabila tidak sakit kerana keadaan tempat kerja yang buruk.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg