Pintu Masjid Alkaff Kampung Melayu sentiasa terbuka kepada mereka yang mahu menjadi sukarelawan.
Bagi relawan masjid yang aktif, Encik Abdul Basit Abdul Hamid, 39 tahun, yang bertugas sebagai pramugara kanan bersama syarikat penerbangan tempatan, beliau telah menabur bakti sejak kecil.
Menyingkap kisahnya, Encik Basit berkata:
“Saya bekas pelajar madrasah sambilan di Masjid Alkaff Kampung Melayu sekitar 1994.
“Sewaktu kecil, saya tolong pegang tabung derma masjid pada Hari Raya. Saya tolong cuci periuk pada malam Jumaat selepas majlis tahlil.
“Selepas Perkhidmatan Negara (NS), saya mula bergiat lebih aktif sebagai sukarelawan masjid.”
Encik Basit yang sudah lebih 15 tahun menjadi sukarelawan, bergiat aktif di jabatan Ibadah dan Dakwah di masjid tersebut.
“Bagi Ramadan 2025 ini, saya berganding bahu dengan kakitangan dan sukarelawan lain dalam pengagihan bubur masjid dan persiapan untuk iftar dan solat tarawih. Sambutan iftar di sini memang luar biasa ramainya.
“Selain penduduk kawasan perumahan berdekatan, penduduk luar dan pekerja hijrahan yang menginap di dormitori berdekatan, turut hadir.
“Sebagai relawan, kita perlu cekap dan pastikan persiapan berjalan lancar. Selepas iftar, ramai jemaah yang datang untuk bersolat isyak dan tarawih.
“Kami pastikan ruang solat dan untuk iftar bersih agar jemaah dapat bersolat dengan selesa,” katanya yang juga membantu menjadi penunjuk tempat, atau ‘usher’, kepada warga emas yang berkerusi roda untuk menunaikan solat mereka.
Bilangan jemaah yang bersolat Aidilfitri pada 2025 di situ juga agak ramai. Ia termasuk warga senja yang berkerusi roda dan tidak boleh menaiki tangga.
“Kami meminta jemaah yang muda bersolat di aras dua dan tiga. Malah, salah seorang (anggota) jemaah warga emas telah mengalami sesak nafas. Mujur ada pegawai perubatan dengan cepat membantu.
“Pegawai perubatan dan ambulans disediakan atas cadangan mantan pengerusi, Encik Mohamed Faizul Othman. Ia nyata bermanfaat apabila kes berlaku sebegini,” tambah Encik Basit.
Di samping itu, Encik Basit juga peka dengan demografi jemaah warga tua yang mempunyai keterbatasan kesihatan tetapi masih aktif bersolat jemaah, mengikuti kelas ukhrawi dan pelbagai acara keagamaan yang lain.
“Masjid harus pastikan laluan jalan tidak diadang oleh kenderaan atau kasut jemaah. Ini bagi memudahkan pergerakan pengguna kerusi roda.
“Sediakan kerusi-kerusi berdekatan dengan pintu masuk masjid untuk kegunaan warga emas ini,” jelasnya sambil menekankan pentingnya menarik golongan muda agar menjadi relawan masjid.
Menyentuh usaha menarik golongan muda, Encik Basit, berkata:
“Pihak masjid boleh gunakan media sosial secara aktif dengan berkongsi kisah inspirasi, video pendek dan testimoni sukarelawan muda. Semua ini menjadi tumpuan anak-anak muda.
“Tawarkan sijil pengiktirafan, sijil pujian atau peluang disenaraikan dalam resume. Tunjukkan kesan dan perubahan atas usaha sukarelawan muda ini. Mereka gemar melihat kerja mereka berkesan dan bermakna.
“Fleksibiliti masa penting untuk golongan muda melakukan kerja-kerja kesukarelawanan.”
Sebagai pramugara, memang mencabar bagi Encik Basit untuk tetap melakukan kerja-kerja kesukarelawanan. Apatah lagi beliau sudah berkeluarga dengan dua anak yang masih kecil.
Alhamdulillah keluarganya iaitu ibu, isteri dan adik-beradik membantu dan memberikan sokongan padu untuk beliau meneruskan tugas sebagai sukarelawan masjid.
“Saya cuba imbangi masa antara keluarga dan pekerjaan dengan tugas sukarela ini.
“Ada masa saya akan bawa anak saya yang berusia tiga tahun ke masjid. Ini sebagai pendedahan kepadanya untuk berjinak-jinak di masjid.
“Untuk kerja-kerja sukarela di masjid pula, saya selalu berkomunikasi dengan kakitangan masjid seperti Ustaz Mohamed Noor Samat,” tambahnya.
Encik Basit malah mengambil cuti pada 10 malam terakhir Ramadan bukan saja untuk beribadah, malah menyertai kerja-kerja sukarela di Masjid Alkaff Kampung Melayu.
DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar, atau tangkap layar (screenshot), transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, berserta nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat, waktu operasi bermula 9 pagi hingga 5 petang.
* Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg