Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelbagai keistimewaan beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan

Segala bentuk ibadah pada malam lailatulqadar akan dapat ganjaran pahala amat besar, setara ibadah 1,000 bulan
Mar 21, 2025 | 5:30 AM
Melakukan amal ibadah seperti membaca Al-Quran, bersedekah dan menunaikan solat sunat sangat digalakkan pada bulan mulia ini, khususnya pada 10 malam terakhir Ramadan.
Melakukan amal ibadah seperti membaca Al-Quran, bersedekah dan menunaikan solat sunat sangat digalakkan pada bulan mulia ini, khususnya pada 10 malam terakhir Ramadan. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Kini, umat Islam telah pun memasuki 10 malam terakhir bulan Ramadan. Malam-malam yang penuh keberkatan dan keampunan.

Sepuluh malam terakhir Ramadan memiliki keistimewaan tersendiri bagi umat Islam.

Salah satu keistimewaannya ialah malam lailatulqadar – malam yang dipenuhi keberkatan dan lebih baik daripada 1,000 bulan.

Begitulah perkongsian Pegawai Dakwah Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah NurulHuda Muhammad Zulkiffli.

Menurutnya, segala bentuk ibadah yang dilakukan pada malam lailatulqadar akan mendapat ganjaran pahala yang amat besar, setara dengan ibadah yang dilakukan selama 1,000 bulan.

“Malam yang penuh kemuliaan ini berlaku sekali dalam setahun, hanya pada bulan Ramadan.

“Oleh itu, umat Islam berusaha dengan lebih gigih dalam beribadah dan memohon keampunan. Walaupun malam lailatulqadar tidak diketahui tepat masanya, yang kita tahu adalah ia berlaku pada malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir Ramadan,” jelas Ustazah NurulHuda.

Allah swt berfirman: “Lailatulqadar (malam kemuliaan) itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah Al-Qadr: 3)

Rasulullah saw bersungguh-sungguh dalam beribadah sepanjang bulan Ramadan, dan baginda lebih tekun lagi pada 10 malam terakhir.

“Rasulullah saw sangat giat beribadah pada bulan Ramadan melebihi ibadahnya pada bulan lain, dan pada 10 malam terakhirnya baginda lebih giat lagi melebihi hari lainnya.” (Jami’ At-Tirmizi 796)

“Seperti yang kita ketahui, kita digalakkan supaya meningkatkan ibadah sepanjang bulan Ramadan.

“Jika kita perlu menjalankan tanggungjawab atau rutin harian pada waktu siang, kita boleh meluangkan masa pada sebelah malam untuk beribadah dan menghayati malam-malam terakhir bulan Ramadan,” katanya.

“Barang siapa yang menghidupkan malam-malam Ramadan dengan solat (qiamullail) dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.

“Dan barang siapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan solat dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Sunan An-Nasai 2207)

Antara amalan yang boleh dilakukan dalam 10 malam terakhir adalah melalui qiamullail iaitu melaksanakan solat tambahan pada waktu malam, khususnya solat tahajud. Pada waktu malam juga amat sesuai untuk menyendiri dan memberi tumpuan kepada ibadah.

Ini adalah waktu terbaik untuk membaca dan memahami isi Al-Quran serta merenung maknanya secara mendalam. Kita juga boleh meningkatkan amalan pada malam-malam ganjil dengan harapan dapat bertemu malam lailatulqadar.

Bagi wanita yang sedang haid, mereka masih boleh menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan pelbagai amalan yang mendekatkan diri kepada Allah swt dan meraih keberkatan malam lailatulqadar.

Ustazah NurulHuda menjelaskan, menurut pandangan ulama, wanita haid masih boleh menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan amalan selain solat dan membaca Al-Quran secara langsung.

“Imam An-Nawawi dalam kitabnya, Al-Majmu’, menyebut bahawa wanita haid dibolehkan berzikir, berdoa, dan mendengar bacaan Al-Quran tanpa menyentuh mashaf (naskhah Al-Quran).

“Wanita yang dalam keadaan haid masih berpeluang meraih keberkatan Ramadan dengan melakukan amalan seperti membaca tafsir Al-Quran bagi memahami isi kandungannya, mendengar bacaan Al-Quran dan ceramah agama, serta memperbanyak zikir, istighfar dan selawat.

“Selain itu, mereka juga boleh memperbanyakkan sedekah dan menyebarkan kebaikan kepada orang lain.

“Dengan melaksanakan amalan-amalan ini secara istiqamah, umat Islam dapat meraih pahala berlipat ganda dan mendekatkan diri kepada Allah swt.

“Semoga kita semua diberi kekuatan untuk memanfaatkan malam-malam mulia ini, sepenuhnya,” tambah Ustazah NurulHuda.

Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg

2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.

* Hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg