Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jaga rizab, fabrik sosial negara kekal stabil antara ikrar Kok Song

Aug 22, 2023 | 8:57 PM
UCAPAN PENGHARGAAN: Encik Ng Kok Song, 75 tahun, memberikan ucapan kepada penyokong di ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) pada Selasa setelah beliau berjaya dipilih sebagai calon Pilihan Raya Presiden 2023. Bersama dalam gambar ialah tunangnya, Cik Sybil Lau, 45 tahun (tiga dari kiri).
UCAPAN PENGHARGAAN: Encik Ng Kok Song, 75 tahun, memberikan ucapan kepada penyokong di ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) pada Selasa setelah beliau berjaya dipilih sebagai calon Pilihan Raya Presiden 2023. Bersama dalam gambar ialah tunangnya, Cik Sybil Lau, 45 tahun (tiga dari kiri). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menjaga rizab negara, melindungi integriti perkhidmatan awam dan memastikan fabrik sosial negara kekal stabil adalah teras utamanya jika dipilih sebagai Presiden, kata Encik Ng Kok Song, 75 tahun, dalam ucapannya susuli pencalonannya bagi Pilihan Raya Presiden 2023.

“Selama 30 tahun saya bekerja di GIC membina rizab negara, lantas saya mempunyai pengalaman untuk menjaganya dengan baik. Pengalaman 45 tahun saya dalam perkhidmatan awam, di Kementerian Kewangan (MOF), Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan GIC, memberikan saya keupayaan dan pengalaman untuk menjaga perkhidmatan awam kita.

“Saya juga tidak mempunyai kaitan dengan sebarang parti politik,” kata Encik Ng.

Bercakap dengan media dan para penyokongnya di ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) pada Selasa, Encik Ng memberikan jaminan bahawa sebagai Presiden, beliau mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk menyatukan rakyat Singapura.

Justeru, sebagai simbol kempennya, beliau telah memilih simbol tapak tangan dengan bentuk jantung. Menurutnya, lima jari itu melambangkan kepelbagaian kaum di Singapura, malah tapak tangan pula menunjukkan bahawa walaupun masyarakat Singapura mempunyai bangsa dan agama yang berbeza, mereka tetap bersatu sebagai rakyat Singapura.

“Lima jari ini mencerminkan semua bangsa di Singapura, dan tapaknya melambangkan kita sebagai satu negara. Saya ingin menyatukan semua rakyat tidak kira bangsa, agama atau kaitan politik agar kita dapat mengharungi cabaran yang tidak menentu pada masa hadapan,” kata Encik Ng.

Para penyokong yang hadir turut melambaikan pengetap sebagai lambang simbol kempennya sambil meniup wisel dan bersorak ketika beliau diumumkan sebagai salah seorang daripada tiga calon Presiden yang akan bertanding. Beliau yang mulanya kelihatan segan, kemudian lebih tenang setelah diumumkan secara rasmi dapat bertanding.

“Saya akur saya mempunyai kelemahan dalam mendapat sokongan kerana sebelum ini saya tidak pernah terdedah dalam arena politik. Beberapa minggu ini, saya telah bekerja keras untuk mendekati rakyat Singapura, termasuk anak muda,” kata Encik Ng.

Menurut Encik Ng, beliau tidak akan mengadakan rapat secara fizikal sepanjang sembilan hari beliau berkempen. Sebaliknya, beliau akan memanfaatkan teknologi dan media sosial untuk mendekati penyokong dan golongan anak muda secara di dalam talian.

“Saya tidak mahu mengadakan rapat secara fizikal, di mana akan ada orang menjerit atau mengejek calon lain. Saya ingin mendekati rakyat Singapura di saat mereka tenang dan dapat melihat menerusi telefon mereka, dan ini dapat mengatasi kelemahan saya sebagai seorang calon Presiden yang bukan disokong oleh pemerintah,” kata Encik Ng.

Ketika ditanya media tentang pandangan beliau bertanding dalam pertandingan tiga penjuru, Encik Ng berkata beliau gembira tidak ada keputusan walkover.

“Saya tampil bertanding kerana saya ingin memberikan rakyat Singapura pilihan untuk mengundi. Kini, ada pertandingan tiga penjuru dan saya serahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

“Kita bertiga harus membentangkan kebolehan masing-masing, menerangkan kepada rakyat Singapura mengapa kita layak untuk dipilih,” kata Encik Ng.

Meskipun beliau berkata pemerintah telah menjalankan tanggungjawab yang baik untuk membantu rakyat Singapura mengharungi cabaran kos sara hidup yang tinggi, Encik Ng menekankan rakyat “tidak boleh mengambil pemerintahan yang baik dengan sewenang-wenangnya”.

“Kita sedang mengharungi era baru di mana masa depan ekonomi kita tidak menentu akibat ketegangan geopolitk dan kita tidak boleh fikir pemerintah akan kekal baik selama-lamanya.

“Dengan itu, amat penting untuk memilih seorang Presiden yang bebas dan berwibawa untuk mengelak situasi di mana pemerintah menyalahgunakan kuasa. Pemerintah yang tidak baik akan menghabiskan rizab negara dan memupuk adat rasuah dalam perkhidmatan awam,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg