Topik diikuti
Pergi ke BHkuJaga si penjaga: Usaha semakin penting sedang S’pura kian menua
Perlu lebih ruang masyarakat untuk kongsi cabaran, jaga kesejahteraan diri; pastikan sumber sokongan mudah diakses bagi penjaga
Jaga si penjaga: Usaha semakin penting sedang S’pura kian menua
Cik Mardhiya Abdul Aziz tidak tinggal serumah dengan ibunya, namun setiap hari beliau memasak dan menghantar makanan kepada warga emas berusia 68 tahun itu.
Ibunya tidak lagi memasak sejak mengalami serangan angin ahmar pada 2020 dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. Ini membuat badannya lemah dan kepalanya mabuk.
Beberapa hari seminggu, Cik Mardhiya, 42 tahun, membawa ibunya ke pusat beli-belah atau makan sarapan atau tengah hari.
Suri rumah itu mengimbangi tugas menjaga ibunya dengan memberi perhatian kepada tiga anaknya yang berumur 12, 10 dan enam tahun.
“Adik-beradik saya pun memberi sokongan dalam cara masing-masing seperti menghantar ke janji temu doktor di poliklinik atau hospital. Mereka pun membelikan makanan untuk dihantar ke rumah ibu kami jika saya tidak dapat memasak untuknya,” kata anak sulung dalam keluarga empat beradik itu.
“Tapi kadangkala saya berasa terlalu banyak benda yang berlaku serentak. Apabila ini berlaku, saya akan keluar berjalan dan mengambil angin di taman, atau bersenam di rumah.
“Saya memilih untuk bersenam supaya saya kuat dan sihat, dan dapat menjaga insan tersayang,” tambahnya.
Usaha menjaga penjaga
Pengalaman Cik Mardhiya turut dirasakan ramai penjaga warga emas lain, lebih-lebih lagi memandangkan Singapura kini secara rasmi menjadi masyarakat yang sangat tua, atau super-aged.
Sebuah masyarakat menjadi sangat tua apabila 21 peratus atau lebih daripada jumlah penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas.
Pada 2026, sebanyak 21.4 peratus warga Singapura tergolong dalam kumpulan itu, naik daripada 20.7 peratus pada 2025 dan 13.7 peratus sedekad yang lalu.
Bilangan warga Singapura yang berusia 80 tahun dan ke atas juga meningkat kepada 152,000 orang pada 2026, berbanding 145,000 pada 2025 dan 95,000 sedekad lalu.
Dengan lebih ramai warga Singapura memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa, pasangan dan insan tersayang lain yang semakin berusia, perbincangan kini kian beralih daripada persoalan tentang bagaimana warga emas dijaga, kepada sama ada mereka yang memberikan penjagaan mampu meneruskan tanggungjawab tersebut secara mampan dalam jangka panjang.
Tinjauan Pengalaman Penjaga 2026 yang dijalankan Persatuan Kebajikan Penjagaan (CWA) mendapati 91.2 peratus responden pernah mengalami atau menjangka akan mengalami beban penjagaan yang melampau.
Sekitar 57.1 peratus responden pula menyatakan bahawa mereka masih mampu menguruskan tanggungjawab penjagaan, namun mendapati tugas tersebut berat.
Dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM), pengarah eksekutif CWA, Encik Steven Yeo, berkata antara cabaran terbesar yang timbul dengan status super-aged Singapura ialah memastikan sistem sokongan penjagaan dapat berkembang seiring realiti kehidupan keluarga yang berubah.
Dengan jangka hayat yang lebih panjang, penjagaan kian menjadi tanggungjawab jangka panjang, merentas banyak tahun.
Pada masa sama, saiz keluarga yang mengecil bermakna kurang ahli keluarga yang ada untuk berkongsi tanggungjawab penjagaan.
Ini meletakkan tekanan lebih besar ke atas individu yang telah pun mengimbangi pekerjaan, membesarkan anak-anak dan komitmen peribadi lain.
Perkara yang turut dikhuatiri ialah kesan kumulatif ke atas kesejahteraan dan keselamatan kewangan individu yang memberi penjagaan.
“Tanggungjawab menjaga ahli keluarga dalam tempoh yang berpanjangan boleh menjejaskan keupayaan penjaga untuk terus bekerja, mengekalkan hubungan sosial dan merancang persaraan mereka sendiri,” kata Encik Yeo.
“Lama-kelamaan, keadaan ini boleh mewujudkan kitaran di mana penjaga pada hari ini menjadi warga emas pada masa hadapan yang turut berdepan cabaran kewangan dan keperluan penjagaan mereka sendiri,” tambahnya.
Tanggungjawab penjaga
Menurut konsultan bersekutu di jabatan perubatan geriatrik, Hospital Tan Tock Seng, Dr Ting Yang Lin, ramai penjaga memperoleh makna dan tujuan hidup melalui peranan mereka.
Sebilangan besar penjaga merupakan anak atau adik-beradik yang mempunyai hubungan rapat dengan warga emas yang dijaga dan mereka melihat tanggungjawab menjaga itu sebagai peluang untuk membalas jasa insan yang telah banyak berkorban demi mereka.
Semangat membalas budi itu boleh menjadi sumber motivasi dan kepuasan diri yang kuat. Namun, komitmen yang mendalam itu juga boleh menjejaskan kesejahteraan diri mereka.
“Dalam amalan klinikal kami, tekanan dan kelesuan dalam kalangan penjaga sering berlaku, khususnya apabila ahli keluarga perlu menjaga warga emas yang semakin uzur dan mempunyai keperluan penjagaan yang rumit,” kata Dr Ting.
“Keadaan seperti demensia, kerap terjatuh dan masalah tidak dapat mengawal kencing atau pembuangan najis menjadikan tugas penjagaan mencabar dari segi fizikal dan emosi.
“Keprihatinan dan pengorbanan penjaga kadangkala menyebabkan mereka mengutamakan kesejahteraan insan tersayang sehingga mengabaikan keperluan diri sendiri,” tambahnya.
Pekerja sosial di pusat pemulihan dan jagaan harian AWWA, Cik Saffiahtol Osman, berkata ramai orang mengaitkan tugas penjagaan dengan tanggungjawab praktikal, seperti menemani ke janji temu perubatan atau membantu mereka menjalankan kegiatan harian.
Namun, aspek yang kurang disedari ialah beban emosi yang turut dipikul oleh penjaga.
“Ramai penjaga sentiasa memikirkan keperluan warga emas, memantau perubahan keadaan kesihatan mereka dan membuat keputusan dengan harapan bahawa setiap keputusan itu adalah yang terbaik untuk mereka,” kata Cik Saffiahtol.
“Tugas menjaga juga boleh membangkitkan pelbagai emosi yang kompleks. Seorang penjaga mungkin berasa bersyukur kerana berpeluang menjaga ibu atau bapa mereka, tetapi pada masa yang sama berasa letih, kecewa atau tidak berdaya. Perasaan ini boleh wujud serentak.
“Namun, penjaga mungkin keberatan untuk meluahkan perasaan mereka kerana bimbang dianggap sebagai anak yang tidak mengenang budi atau tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik,” tambahnya.
Selain itu, penjaga juga mungkin berdepan kesukaran mengimbangi tuntutan menjaga warga emas dengan tanggungjawab kerja, keluarga dan komitmen peribadi yang lain.
Pada masa sama, mereka mungkin bimbang tentang kos penjagaan serta sama ada mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk memenuhi keperluan insan tersayang.
Dr Ting menambah, antara situasi yang paling sukar dihadapi oleh penjaga ialah apabila kesihatan insan tersayang semakin merosot dan mereka perlu membuat keputusan perubatan bagi pihak individu tersebut.
Ini termasuk menentukan sejauh mana rawatan perlu diteruskan secara intensif, sama ada pembedahan perlu dilakukan atau bilakah rawatan intensif wajar dihentikan.
“Keputusan sedemikian membawa beban emosi yang amat berat. Beban ini menjadi lebih besar apabila warga emas berkenaan tidak pernah menyatakan hasrat mereka tentang rawatan perubatan atau melengkapkan perancangan penjagaan lanjut,” kata Dr Ting.
“Tanpa panduan tersebut, penjaga terpaksa membuat keputusan yang membawa kesan besar terhadap kehidupan insan tersayang dengan bergantung pada pertimbangan sendiri, sering kali dalam keadaan tertekan dan dibelenggu ketidakpastian,” tambahnya.
Tanda tekanan penjaga
Menurut ketua kumpulan penjaga Touch di Touch Community Services, Cik June Sim, ahli keluarga yang menjadi penjaga selalunya perlu memikul tanggungjawab itu secara mendadak dan mungkin berasa tidak bersedia untuk menghadapi tuntutan praktikal serta emosi yang terlibat.
Peralihan kepada peranan sebagai penjaga, perubahan keadaan kesihatan insan tersayang dan perancangan untuk penjagaan pada masa hadapan merupakan antara fasa yang amat mencabar.
Keperluan penjagaan juga berubah mengikut peringkat, dan keluarga mungkin perlu mempelajari kemahiran baru, memahami perkhidmatan sokongan yang belum pernah digunakan serta membuat keputusan dalam keadaan yang tidak menentu.
Menurut Persatuan Angin Ahmar Nasional Singapura (SNSA), kelesuan dalam kalangan penjaga boleh berlaku secara beransur-ansur tanpa disedari.
Antara tanda lazim termasuk keletihan berpanjangan, mudah marah, gangguan tidur, sentiasa berasa terbeban, menjauhkan diri daripada orang lain, hilang minat terhadap kegiatan yang biasanya digemari serta mengabaikan kesihatan dan keperluan diri sendiri.
Cik Sim menambah penjaga mungkin mengalami rasa bersalah untuk keluar dan meninggalkan warga emas di rumah.
“Penjaga memilih untuk terus berada di rumah demi menemani dan menjaga mereka. Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menyebabkan penjaga mengabaikan kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental sendiri,” katanya.
Sokongan yang diperlukan
Menurut Cik Saffiahtol, penjaga memerlukan sokongan yang tepat pada masanya, mudah diakses dan diselaraskan dengan baik, bersesuaian dengan keadaan serta keperluan unik mereka.
Ini termasuk sokongan emosi, bantuan kewangan jika diperlukan serta panduan untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan yang tersedia.
Pengurus Kanan, Pasukan Jangkauan Masyarakat Rangkaian Sokongan Penjaga (CREST-CSN) di Club Heal, Encik Zainal Lee, berkata khidmat kaunseling dan kumpulan sokongan penjaga boleh memberi penjaga ruang untuk berkongsi pengalaman, mempelajari strategi menangani tekanan dan menyedari bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran itu.
Bantuan praktikal daripada ahli keluarga, perkhidmatan jagaan harian dan perkhidmatan penjagaan sementara juga dapat memberikan mereka masa rehat yang amat diperlukan, tambahnya.
Bagi keluarga yang mungkin berasa bersalah apabila mengambil masa untuk berehat, Encik Yeo menegaskan bahawa menjaga kesejahteraan diri juga merupakan bahagian penting dalam tanggungjawab sebagai penjaga.
Penjaga tidak seharusnya berasa bahawa mereka perlu mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri untuk membuktikan komitmen mereka terhadap warga emas tersayang.
“Penjagaan sementara tidak seharusnya dianggap sebagai pilihan terakhir apabila penjaga sudah terlalu terbeban, sebaliknya perlu dilihat sebagai langkah proaktif dan komponen penting dalam memastikan penjagaan dapat diteruskan secara mampan.
“Meluangkan masa untuk berehat membolehkan penjaga meneruskan tanggungjawab mereka dengan lebih tabah, berdaya tahan dan tenang,” ujarnya.
Cik Sim menambah penjaga juga boleh dibantu merancang keperluan kesihatan serta kewangan mereka agar tidak membebankan orang tersayang pada masa hadapan.
“Ramai penjaga tidak mempunyai masa atau sumber yang mencukupi untuk memikirkan perancangan penjagaan jangka panjang mereka.
“Keadaan ini boleh menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai risiko pada masa hadapan sekiranya mereka kehilangan keupayaan mental untuk membuat keputusan sendiri,” ujarnya.
Apa lagi yang boleh dilakukan?
Cik Saffiahtol berkata sering kali, cabaran yang dihadapi bukanlah kerana tiada sokongan yang tersedia, tetapi kerana penjaga tidak tahu dari mana hendak bermula dan bagaimana untuk mendapatkan akses kepada pilihan sokongan yang ada.
Namun begitu, masih ada jurang sokongan yang wujud dan boleh diperbaiki.
“Satu aspek yang boleh terus diperkukuh ialah usaha mengenal pasti keperluan penjaga pada peringkat awal.
“Sebagai contoh, apabila warga emas dibenarkan pulang dari hospital atau mula memerlukan lebih banyak bantuan untuk melakukan kegiatan harian, kita juga perlu bertanya tentang keadaan dan kemampuan penjaga dalam menggalas tanggungjawab tersebut,” kata Cik Saffiahtol.
Dr Ting berkata perbincangan awal tentang perancangan penjagaan lanjut juga perlu dipertingkat supaya keluarga lebih bersedia menghadapi keputusan perubatan yang sukar apabila tiba masanya, tanpa perlu memikul beban tersebut sendirian dan tanpa panduan yang mencukupi.
Sementara itu, Encik Yeo berkata sedang Singapura telah mencapai kemajuan ketara dalam memperkukuh ekosistem penjagaan berasaskan masyarakat, dengan pelbagai perkhidmatan, subsidi dan inisiatif disediakan untuk menyokong warga emas serta penjaga mereka, usaha perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan sumber sokongan itu mudah diakses, mampu dibiayai dan responsif terhadap keperluan penjaga yang sentiasa berubah.
Salah satu aspek utama yang perlu diberi perhatian ialah campur tangan awal dan peningkatan kesedaran.
“Ramai penjaga mungkin tidak mengetahui bentuk sokongan yang tersedia atau menghadapi kesukaran untuk memahami dan mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan serta skim bantuan.
“Penyelarasan yang lebih baik dan penyampaian maklumat yang lebih mudah diakses dapat membantu keluarga mengenal pasti sokongan yang bersesuaian sebelum keadaan menjadi terlalu membebankan,” kata Encik Yeo.
Beliau menambah kos dan fleksibiliti perkhidmatan penjagaan sementara juga perlu terus diberi perhatian, khususnya bagi penjaga yang bekerja dan keluarga yang menguruskan keperluan penjagaan jangka panjang atau rumit.
Cik Sim berkata satu lagi jurang sokongan yang perlu diberi perhatian ialah kekurangan ruang masyarakat yang mudah diakses oleh penjaga.
“Mereka memerlukan tempat untuk bertemu secara berkala, menjalin persahabatan, bertukar-tukar panduan praktikal dan membina rangkaian sokongan yang berterusan, melangkaui perkhidmatan formal dan sokongan keluarga,” katanya.
