Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jagaan kesihatan S’pura perlu berubah, sedia kerjasama dengan rakan kongsi: Masagos

Dana Pentadbir Penjagaan Kesihatan $3 juta dilancar sokong latihan dan pembangunan profesional pentadbir jagaan kesihatan
Aug 19, 2023 | 6:09 PM
DANA BARU: Menghadiri pelancarannya ialah (dari kiri) Encik Tan Jack Thian, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SingHealth dan Pengerusi Penganjur SHM 2023; Encik Cheng Wai Keung, Pengerusi SingHealth; Encik Masagos; Profesor Ivy Ng, CEO Kumpulan SingHealth dan Profesor Chan Choong Meng, Ketua Pegawai Pendidikan Kumpulan SingHealth.
 
DANA BARU: Menghadiri pelancarannya ialah (dari kiri) Encik Tan Jack Thian, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SingHealth dan Pengerusi Penganjur SHM 2023; Encik Cheng Wai Keung, Pengerusi SingHealth; Encik Masagos; Profesor Ivy Ng, CEO Kumpulan SingHealth dan Profesor Chan Choong Meng, Ketua Pegawai Pendidikan Kumpulan SingHealth.   - Foto SINGHEALTH

Singapura perlu mengalihkan tumpuannya dalam penjagaan kesihatan daripada penjagaan kuratif kepada penjagaan pencegahan, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad merangkap Menteri Kedua Kesihatan.

Langkah itu perlu bagi memperkukuh keluarga dan masyarakat untuk membolehkan individu berkembang maju dan kekal sihat apabila permintaan penjagaan kesihatan semakin meningkat.

Untuk melakukan ini, pengurusan penjagaan kesihatan tidak boleh terhad hanya kepada institusi penjagaan kesihatan sahaja.

Malah, penyedia penjagaan kesihatan harus bersedia bekerjasama dengan rakan kongsi yang lebih luas dan memanfaatkan teknologi bagi membolehkan hasil kesihatan yang lebih baik.

Encik Masagos mengetengahkan itu semasa Kongres Pengurusan Penjagaan Kesihatan Singapura 2023 pada Rabu lalu dan digariskan beliau dalam hantaran di Facebook, pada Sabtu.

“Singapura adalah negara yang semakin pesat menua dan permintaan penjagaan kesihatan kita akan meningkat.

“Justeru, terdapat keperluan penting untuk mempunyai strategi lebih berkesan dan inovatif dalam pengurusan penjagaan kesihatan dan kita perlu mengubah khidmat penjagaan kesihatan dan model pengurusan,” ujar beliau.

Menurut Encik Masagos lagi, Dana Pentadbir Penjagaan Kesihatan (HAF) sebanyak $3 juta untuk menyokong latihan dan pembangunan pentadbir penjagaan kesihatan profesional di SingHealth turut dilancarkan dalam acara itu.

“Ini akan memanfaatkan kira-kira 4,600 pentadbir penjagaan kesihatan dalam operasi, penyelidikan dan fungsi korporat untuk penjagaan pesakit yang lebih baik,” tambahnya.

Mereka membentuk 15 peratus daripada tenaga kerja merentasi bidang domain yang pelbagai seperti operasi penjagaan kesihatan, kewangan, sumber manusia, penyelidikan, pendidikan dan komunikasi.

Timbalan pengarah kumpulan Operasi SingHealth, Dr Lim Chee Tiong berkata:

“Pelancaran dana ini adalah titik penting yang menunjukkan komitmen kami terhadap kemajuan profesion kami. Keperluan operasi dalam sistem penjagaan kesihatan adalah sangat khusus, dan sokongan lebih kukuh diperlukan untuk pembangunan berterusan akan membolehkan pentadbir memajukan kemahiran.

“Dana Pentadbir Penjagaan Kesihatan bukan sahaja melabur untuk individu bahkan juga mengiktiraf peranan penting yang kita mainkan dalam membentuk masa depan penjagaan kesihatan, bersama rakan klinikal kami.”

Secara berasingan, Yayasan Pasukan ACE telah menghadiahkan sebanyak $1.5 juta kepada daya usaha ‘Joy at Work’ SingHealth untuk meningkatkan usaha dalam kesejahteraan kakitangan.

“Singapura adalah negara yang semakin pesat menua dan permintaan penjagaan kesihatan kita akan meningkat. Justeru, terdapat keperluan penting untuk mempunyai strategi lebih berkesan dan inovatif dalam pengurusan penjagaan kesihatan dan kita perlu mengubah khidmat penjagaan kesihatan dan model pengurusan.”
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad., Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg