Topik diikuti
Pergi ke BHkuJalan susur keluar CTE ditutup 4 hari pada Okt dan Nov
Jalan susur keluar CTE ditutup 4 hari pada Okt dan Nov
Sebuah jalan susur keluar di Ekspreswe Central (CTE) di kawasan Bendemeer akan ditutup buat sementara pada awal pagi selama empat hari pada Oktober dan November, bagi kerja peningkatan.
Dalam kenyataan pada 15 Oktober, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) berkata jalan susur keluar 8A CTE yang menghala ke bandar, bersambung ke Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) arah Tuas, akan ditutup dari tengah malam hingga 5 pagi pada 20 dan 21 Oktober, 7 November serta 17 November.
Menurut URA, penutupan itu adalah untuk memudahkan pembinaan laluan baharu bagi pejalan kaki dan penunggang basikal merentasi PIE bagi meningkatkan ketersambungan antara Potong Pasir dengan Bendemeer, sebagai sebahagian daripada Projek Laluan Penghubung Bishan ke Pusat Bandar.
Pemandu yang menggunakan jalan susur keluar itu untuk memasuki PIE dinasihatkan supaya menggunakan jalan susur keluar 7C dan memasuki PIE melalui Moulmein Road dan Thomson Road.
Menurut URA, penghadang dan papan tanda lencongan lalu lintas akan diletakkan sebagai panduan kepada pemandu.
URA turut menasihatkan pemandu supaya merancang laluan lebih awal, memandu dengan berhati-hati dan mengikut papan tanda arah.
Jalan susur keluar itu juga pernah ditutup selama beberapa hari pada Mei, Jun dan Julai lalu untuk memudahkan kerja pemasangan jambatan bagi laluan pejalan kaki dan penunggang basikal itu.