Sebagai ibu tunggal yang menjaga anak istimewa, hati Cik Jainah Awang sentiasa dibelenggu kebimbangan sama ada beliau mampu menyara keperluan anak bongsunya itu.
Mereka tinggal berdua sahaja di flat sewa satu bilik di Marsiling.
Pada usia senjanya yang mencecah 76 tahun, Cik Jainah akur banyak jerih payah yang dilalui dalam menguruskan anaknya, Encik Shamsul Bahri Sabri, 47 tahun.
Encik Shamsul Bahri memiliki tahap kecerdasan otak (IQ) yang rendah, tidak boleh berbual dan payah bergerak.
Cik Jainah juga perlu menyuap makanan dan membersihkan anaknya setiap hari.
Namun, dengan bantuan Jalinan Rahmah, inisiatif kemasyarakatan kumpulan qaryah di kejiranan Marsiling, Cik Jainah mampu menghela nafas lega ada yang sudi meringankan bebannya.
“Selepas suami saya meninggal 22 tahun lalu, saya terpaksa melakukan semuanya sendirian.
“Saya sekarang tidak bekerja kerana perlu menjaga anak saya sepenuh masa.
“Kadangkala, saya rasa tertekan dan bagaikan terbiar keseorangan menguruskan hidup kami dua beranak.
“Setelah bertemu sukarelawan qaryah, saya rasa gembira adanya usaha membantu golongan yang memerlukan seperti saya,” ujarnya.
Cik Jainah merupakan salah seorang daripada 300 penduduk yang menghadiri sesi mendekati penduduk Jalinan Rahmah di Blok 178, Woodlands Street 13, pada 5 Oktober.
Inisiatif Jalinan Rahmah bertujuan memperkasa masyarakat Islam dan membantu setiap orang menyemai rasa empati yang lebih mendalam terhadap orang lain dan masyarakat.
Edisi ketiga Jalinan Rahmah ini diterajui Qaryah 7.
Dengan kerjasama penduduk dari Zon 4, 5, dan 6, kumpulan Qaryah di Marsiling ini menetapkan matlamat mendekati lebih 900 penduduk Marisiling menjelang akhir 2024.
Menurut Encik Mohd Noh Tahir, sukarelawan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Marsiling, Jalinan Rahmah menggambarkan kebangkitan semangat kebersamaan anggota kumpulan qaryah.
“Saya gembira kerana Jalinan Rahmah membawa anggota qaryah kembali beraksi bersama. Ia memberi gambaran penyatuan semangat, persahabatan malahan menjadikan kami sebahagian daripada masyarakat di Marsiling,” jelasnya.
Melalui kumpulan qaryah yang sedia ada, Encik Mohd Noh berkata Jalinan Rahmah memastikan bahawa Marsiling kekal sebagai masyarakat yang bergotong royong serta bertambah rasa ihsan terhadap satu sama lain.
Turut hadir adalah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee.
Mengulas tentang inisiatif Jalinan Rahmah ini, Encik Zaqy berkata:
“Jalinan Rahmah melambangkan unsur terbaik di Marsiling, iaitu masyarakat yang bersatu padu, menyokong satu sama lain, dan menaikkan semangat mereka yang amat memerlukan.”
Encik Zaqy turut melancarkan inisiatif baru, Infaq Kasih. Antara 1 November hingga 31 Disember 2024 ini, pakaian tradisional preloved (terpakai dan masih baru) akan dikumpulkan untuk agihan sempena Ramadan 2025 sekitar Mac.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg