Usaha M Kuasa Tiga (M³) untuk memperkukuh rangkaian sokongan dalam masyarakat demi membantu lebih ramai individu telah berhasil sejak gerakan itu diumumkan sekitar lima tahun lalu pada 2018, kata pemerhati, relawan M³ dan pemimpin masyarakat.
Ini termasuk dalam proses penyampaian program dan perkhidmatan, yang membentuk batu asas bagi rangkaian sokongan dalam masyarakat yang lebih kukuh di masa depan.
Pada masa yang sama, beberapa cabaran tetap wujud seperti memperkukuh daya tahan program yang diusahakan, menggembleng tenaga relawan dengan lebih berkesan dan penyelarasan pelbagai program yang diusahakan, kata mereka.
Berkongsi pandangan, Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi, berkata sepanjang lima tahun lalu, M³ telah menggerakkan dan melibatkan masyarakat dalam usaha memberi sokongan kepada golongan yang memerlukan.
“Sebelum ini, Mesra, Muis dan Mendaki kelihatan mendekati segmen masyarakat yang berbeza, tetapi melalui M³, terdapat sinergi lebih besar untuk memanfaatkan kekuatan setiap agensi ‘M’ untuk mengoptimumkan usaha kolektif bagi masyarakat,” kata Dr Syed Harun.
Pengerusi M³@Tampines, Encik Jamaludin Saad, berkata:
“Langkah memperkasa masyarakat... dengan menjalankan program melalui usaha yang didorong sukarelawan boleh memastikan inisiatif terus berkembang secara organik.”
Pertama kali diumumkan pada 2018, M³ menggembleng tenaga dan sumber tiga agensi Melayu/Islam – Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) – untuk membantu masyarakat.
Ia merupakan daya usaha perdana di bawah kepimpinan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama antara ketiga-tiga badan itu serta menyelaras sumber bagi membantu masyarakat.
Program M³ dijalankan menerusi M³@Bandar seperti di Tampines, Marsiling-Yew Tee dan Geylang Serai, dengan setiap bandar menawarkan program sokongan yang memenuhi keperluan penduduk masing-masing.
Selain itu, M³ juga menyediakan platform untuk individu berbilang latar belakang menyumbang kepada masyarakat sebagai relawan.
Sokongan disampaikan kepada penduduk menerusi lima bidang tumpuan utama iaitu menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; menyokong individu dan keluarga rentan; memperkasa dan membimbing belia; pekerjaan dan daya kerja; serta membina masyarakat sihat untuk semua.
Sebagai contoh, KelasMateMatika (KMM) oleh Mendaki direka khusus untuk menyokong ibu bapa dalam pendidikan anak-anak prasekolah, manakala #amPowered menawarkan pementoran berstruktur kepada belia berusia 15 hingga 18 tahun.
Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga atau Fitrah, yang dikendalikan dengan kerjasama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dengan Muis, menyediakan sokongan lebih terselaras dan menyeluruh kepada pesalah dan keluarga mereka sepanjang tempoh tahanan dan selepas dibebaskan.
Demi menyokong keluarga, Bersamamu pula menjadikan kadi dan naib kadi sumber sokongan dan nasihat bagi pasangan dari masa sebelum mereka bernikah hingga dua tahun pertama perkahwinan mereka.
Kesan sebenar program sedemikian hanya boleh diraih dalam jangka pertengahan atau jangka panjang, tetapi hasil awal amat menggalakkan, terutama dalam pendidikan, sokongan untuk keluarga bergaji rendah dan kadar kebentanan pesalah, kata pemerhati.
Dalam pendidikan, peratusan lulusan universiti dalam kalangan orang dewasa Melayu telah meningkat daripada 2.1 peratus pada 2000 kepada 10.8 peratus pada 2020.
Kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam pula turun daripada 1,682 pada 2018 kepada 1,200 pada 2023.
Kadar kebentanan bekas pesalah Melayu kekal rendah dan stabil, dengan 24.7 peratus pesalah Melayu ditangkap semula dua tahun selepas dibebaskan bagi kumpulan yang dibebaskan pada 2020 – lebih rendah berbanding 34.1 peratus untuk kohort yang dibebaskan pada 2010.
Walaupun akur dengan kemajuan yang telah diraih buat masa ini, masih terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani, terutama untuk mempersiap masyarakat menghadapi cabaran di masa depan, kata mantan pengerusi AMP, Encik Azmoon Ahmad.
Umpamanya, masyarakat Melayu/Islam masih menghadapi jurang pendapatan dan penempatan pekerjaan jika dibandingkan dengan kumpulan etnik lain, kata pengasas Nusantara Connect, Dr Mohamad Shamsuri Juhari.
Namun, M³ dianggap berada pada landasan kukuh untuk menempuhi cabaran sedemikian.
Penganalisis Kanan Hal Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies, Dr Mustafa Izzuddin, berkata M3 mempunyai lebih banyak kelebihan daripada kekurangan.
“Menjelang ulang tahunnya yang kelima, adalah tepat pada masanya dan berguna untuk melakukan refleksi kritis tentang perkara yang telah berjaya dan bidang mana yang boleh dipertingkatkan lagi,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg