Sejak kecil, Cik Dahliah Kamaru Zaman, sering menemani ibunya ke muzium di Singapura dan Melaka.
Di setiap kunjungan, beliau diperkenalkan kepada kisah silam orang Melayu – daripada keagungan Kesultanan Melaka dan kehalusan seni silat hinggalah kepada nilai budi bahasa yang menjadi teras masyarakat.
“Kunjungan itu membuat saya sedar betapa kuatnya orang Melayu dahulu… cara mereka memimpin, cara mereka hidup.
“Sejarah itu benar-benar menyentuh hati saya,” ujar Cik Dahliah, 30 tahun.
Dari situ, beliau mula menghargai keindahan dalam setiap hasil tangan dan warisan Melayu yang terus kekal dalam dirinya sehinggalah melangkah ke alam pekerjaan.
Tidak hairanlah pengalamannya bekerja selama empat tahun dalam industri jam tangan sebagai eksekutif pemasaran, dan penyelaras acara katering, telah membuka matanya bahawa horologi – iaitu seni membuat jam – bukan sekadar alat penunjuk waktu.
Ia juga wadah untuk menyingkap kisah budaya dan sejarah Melayu.
Cik Dahliah, yang juga ibu kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun, mula menceburi industri jam tangan kerana minatnya yang tertanam sejak kecil.
Selepas membuat pelbagai kajian dan mendapati tiada jenama jam tangan Melayu di Singapura, Cik Dahliah terdorong untuk menggabungkan minatnya dalam horologi dan warisan Melayu bagi mengasaskan Waktu Horology pada Mac 2024.
Jenama itu, yang dipercayai merupakan jenama jam tangan Melayu pertama di Singapura, dilancarkan secara rasmi pada Mei 2025 setelah ia didaftar di bawah Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra).
“Saya mahu warisan Melayu tidak hanya kekal dalam muzium atau sastera semata-mata. Ia juga boleh hidup pada jam tangan, satu kanvas baru untuk bercerita,” katanya.
Siswazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang pelancongan, acara dan pemasaran dari Universiti Murdoch itu mengikuti pengajian dari institut pendidikan swasta Kaplan secara sambilan.
Menurutnya, ijazah yang diraih pada 2020, serta pengalamannya dalam bidang pemasaran membantunya membina identiti jenama Waktu Horology.
Tanpa rakan kongsi untuk memberi sokongan kewangan, Cik Dahliah menubuhkan Waktu Horology dengan menggunakan wang sendiri sebanyak $30,000 bagi menampung kos operasi termasuk membeli komponen jam, serta proses menghasilkan jamnya itu di Hong Kong.
“Saya giat bekerjasama dengan institusi tempatan seperti IHT Swiss Watch Atelier untuk melanjutkan pendidikan lanjutan dalam bidang horologi demi memperkukuh ilmu saya dalam industri ini,” kongsinya.
Menerusi model jam tangan sulungnya yang digelar Klasik: Hitam, Cik Dahliah berkata beliau mahu menyatukan ketepatan seni horologi dengan simbol warisan Melayu yang diilhamkan daripada tenunan kain songket seperti pucuk rebung dan bunga pecah lapan.
Walaupun baru dilancarkan pada Mei, Cik Dahliah mendedahkan, permintaan awal daripada pelanggan agak memberangsangkan, dengan lebih 160 unit daripada 300 edisi terhad Klasik: Hitam sudah ditempah dan dihantar kepada pelanggan.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan beliau merupakan orang Melayu Singapura, tetapi ada juga pelanggan dari rantau ini seperti Kemboja, Indonesia, Malaysia dan Australia.
Jam tangan yang bernilai $559 itu boleh dibeli menerusi laman web Waktu Horology.
Klasik: Hitam tampak seperti jam tangan moden, berbingkai keluli tahan karat bersaiz 40 milimeter dengan pergerakan automatik Miyota 90S5 dari Jepun.
“Namun, keindahan sebenarnya terletak pada butiran halus jarum jamnya yang dihiasi motif pucuk rebung, manakala terasnya membawa bentuk bunga pecah lapan.
“Bagi saya, pucuk rebung melambangkan pertumbuhan kerana saya sendiri membesar melalui banyak cabaran hidup.
“Bunga pecah lapan pula melambangkan keseimbangan, sebab itu ia terletak di bahagian tengah jam,” jelas Cik Dahliah.
Pada mulanya, beliau mempertimbangkan menggunakan permukaan jam berwarna hitam diperbuat daripada mother of pearl atau ibu mutiara, tetapi akhirnya memilih permukaan hitam biasa kerana tidak mahu warna permukaan itu mencuri perhatian daripada jarum jam.
Menurut Cik Dahliah, logo Waktu Horology yang merupakan abjad ‘W’, diletakkan pada kedudukan tanda jam 9 kerana ia merujuk ke barat, iaitu arah penting dalam jelajah maritim pada masa silam.
Difahamkan bahawa penjelajahan ke arah barat mendorong peningkatan teknik pengemudian seperti penggunaan kompas dan peta kerana para pelaut perlu menjejaki perjalanan mereka ke barat dengan tepat merentasi laut yang belum diterokai.
“Posisi logo itu adalah satu pengiktirafan tentang pelayaran agung dan hubungan mendalam dengan lautan yang telah membentuk sejarah orang Melayu,” terangnya.
Cik Dahliah melakarkan prototaip Klasik: Hitam di rumahnya menggunakan pensel dan buku nota, sebelum menggunakan aplikasi reka bentuk seperti Adobe Photoshop dan Illustrator untuk memuktamadkan reka bentuknya.
Bagi sebuah jenama baru, Cik Dahliah mengakui cabaran terbesar ialah mengimbangi keunikan dengan kemampuan harga, justeru beliau memilih untuk menghasilkan jamnya di sebuah kilang di Hong Kong dan menggunakan komponen dari Jepun.
Proses menghasilkan versi muktamad Klasik: Hitam mengambil masa kira-kira setahun dari Mac 2024 hingga Mac 2025.
“Jika dihasilkan di Singapura, kosnya jauh lebih tinggi dan akan memakan lebih banyak masa.
“Dengan cara ini, saya dapat memastikan mutu terjaga tetapi harga tidak terlalu membebankan,” kongsinya.
Baginya, Waktu Horology bukan sekadar soal jam, malah ia juga soal perlambangan.
“Setakat ini, barang mewah dibeli orang Melayu banyak tertumpu pada tudung, beg atau pakaian.
“Jarang sekali jam tangan. Jadi, saya rasa penting untuk cuba mewakili orang Melayu dalam ruang ini.
“Saya juga harap jam tangan saya dapat menjadi titik permulaan generasi muda untuk kembali berminat dengan akar budaya.
“Saya risau anak-anak muda kini semakin jauh daripada bahasa dan budaya Melayu.
“Tetapi kalau mereka nampak warisan kita dalam bentuk yang moden dan bergaya, mungkin ia boleh tarik minat mereka semula,” luahnya.
Usahanya menghidupkan kembali minat terhadap budaya Melayu itu turut dizahirkan melalui penajaan beberapa jam tangan Klasik: Hitam kepada pemenang Anugerah Ibu Teladan (EMA) dan Anugerah Ibu Teladan Muda (EYMA) anjuran Jamiyah Singapura pada 30 Ogos.
Kedua-dua anugerah diberikan untuk mengiktiraf ibu yang telah menunjukkan ketabahan dalam mengharungi cabaran hidup, serta meraikan semangat keusahawanan, kerja keras, keazaman dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
Cik Dahliah juga bakal menampilkan jenamanya di Spring Sprang Sprung, satu bazar yang memberi tumpuan kepada jenama jam tangan bebas yang akan berlangsung di Pusat Reka Bentuk Nasional di Middle Road dari 8 hingga 9 November.
Untuk model jam tangan seterusnya, Cik Dahliah sedang merancang model bersaiz 38 milimeter, yang menurutnya, lebih sesuai untuk pergelangan tangan warga Asia.
Ia akan mempunyai permukaan diperbuat daripada ibu mutiara dalam tiga warna – hitam, merah jambu dan putih.
Beliau turut memendam cita-cita untuk menghasilkan jam tangan penyelam, jam tangan kronograf serta jam tangan yang mempunyai zon masa berganda (GMT watch).
Dari segi operasi pula, Cik Dahliah mendambakan memiliki kilang atau bengkel sendiri di Singapura yang akan membolehkan beliau memasang sendiri jam tangannya.
Baginya, setiap Klasik: Hitam bukan sekadar alat penunjuk waktu, bahkan kesinambungan kisah lama yang dibawa ke hari ini.
“Ia boleh menjadi jam harian, tetapi boleh juga dipakai ke majlis.
“Ia juga boleh diwariskan kepada anak-anak kita dan membuat mereka bangga kerana ia adalah jam tangan Melayu.
“Lebih penting lagi, ia bukan sekadar jam. Ia sebenarnya warisan yang terletak di pergelangan tangan anda,” kongsi Cik Dahliah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg