Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambutan bahasa, budaya Melayu selama tiga bulan di WGS

Pelbagai bengkel, pameran dan persembahan bagi pengunjung hayati khazanah Melayu
Aug 30, 2025 | 5:01 PM
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Pesona Bahasa, Warisan Budaya, WGS
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), di pelancaran sambutan ‘Pesona Bahasa, Warisan Budaya’ di Wisma Geylang Serai pada 30 Ogos. - Foto WISMA GEYLANG SERAI (WGS)

Tema Pesona Bahasa, Warisan Budaya yang dipilih bagi sambutan warisan dan bahasa Melayu di Wisma Geylang Serai (WGS) bukan sekadar satu tema, sebaliknya membawa makna yang mendalam.

“Ia mencerminkan hubungan istimewa antara bahasa dan warisan budaya Melayu yang akan kita sambut sepanjang tiga bulan akan datang,” kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam ucapannya di upacara pembukaan sambutan itu pada 30 Ogos.

Dalam kenyataannya, WGS menerangkan bahawa ‘Pesona Bahasa’ merujuk kepada daya tarikan bahasa Melayu yang tak lapuk dek zaman, manakala ‘Warisan Budaya’ mencerminkan kekayaan warisan Melayu.

“Ia menjadi peringatan bahawa bahasa adalah khazanah hidup, membawa nilai dan hubungan yang terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” menurut kenyataan WGS.

Sambutan Pesona Bahasa, Warisan Budaya, yang merupakan sebahagian daripada kempen Bulan Bahasa 2025, akan berlangsung hingga 11 Oktober.

Ia bertujuan meraikan tarikan, kerelevanan dan semangat berkekalan dalam bahasa Melayu.

Ia akan menampilkan persembahan, bengkel, pameran dan pengalaman interaktif yang meraikan warisan sambil memberi ruang kepada luahan kreatif baru.

Sambutan Pesona Bahasa, Warisan Budaya dibuka dengan acara berjudul Warna Warisan Kita pada 30 Ogos yang menampilkan persembahan muzik dan tarian, kegiatan kraf dan demonstrasi memasak serta kegiatan seperti permainan warisan buat para pengunjung.

WGS dalam kenyataannya berkata acara Warna Warisan Kita menetapkan tema bagi minggu-minggu akan datang yang menjanjikan gabungan bentuk seni tradisional dengan tafsiran moden untuk melibatkan penonton merentas semua peringkat umur.

“Acara tersebut membawa kita menghayati keindahan budaya kita – dari warna-warni persembahan tradisional, hingga ke warna baru (tafsiran seni moden) yang melambangkan generasi muda.

“Setiap warna membawa cerita, setiap warisan membawa makna. Sambutan budaya dan bahasa inilah sebenarnya cerminan kisah kita bersama,” kata Dr Faishal.

Beliau mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam pelbagai bengkel dan kegiatan yang disediakan sepanjang minggu-minggu akan datang.

Ini termasuk siri Bengkel Cerita Kita pada 6, 13 dan 20 September yang menawarkan peluang bagi peserta termasuk kanak-kanak mempelajari tulisan jawi, budaya memakai kain sarung, serta silat sebagai seni mempertahan diri dan tradisi budaya.

Satu lagi acara ialah persembahan Gurindam Kota Kita pada 11 Oktober yang akan memaparkan gurindam di samping persembahan muzikal secara langsung serta deklamasi puisi.

“Marilah kita bersama-sama menghargai dan menghayati keindahan warisan budaya kita. ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ bukan sekadar pepatah – ia mencerminkan jati diri kita sebagai orang Melayu Singapura,” ujar Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg