Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jamiyah anjur festival dengan pameran ‘metaverse’ 

Jan 27, 2025 | 2:50 PM
Hadirin di sidang akhbar Festival Muslim Singapura 2025 pada 24 Januari menonton video realiti maya (VR) dan ‘metaverse’ (ruang realiti maya dengan persekitaran yang dijana komputer) memaparkan Kaabah, rumah Nabi Muhammad saw, Masjid Al-Aqsa dan Masjid An-Nabawi. 
Hadirin di sidang akhbar Festival Muslim Singapura 2025 pada 24 Januari menonton video realiti maya (VR) dan ‘metaverse’ (ruang realiti maya dengan persekitaran yang dijana komputer) memaparkan Kaabah, rumah Nabi Muhammad saw, Masjid Al-Aqsa dan Masjid An-Nabawi.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Festival Muslim Singapura 2025 (SMF 2025) anjuran Jamiyah Singapura mengalu-alukan pengunjung dengan tiga bilik skrin LED 90 meter memaparkan kehidupan Nabi Muhammad saw, 20 set realiti maya (VR), dan peluang mengalami ‘metaverse’ (ruang realiti maya dengan persekitaran yang dijana komputer) ke Kaabah dan rumah Nabi Muhammad saw

SMF 2025 merupakan acara tiga hari berunsur Islam terbesar di Singapura, yang mempamerkan ulama dan artis Islam tempatan, dengan lebih 170 vendor makanan Halal, pakaian dan produk gaya hidup. 

Festival tersebut merupakan edisi keempat dan akan diadakan dari 7 hingga 9 Februari, 10 pagi hingga 10 malam, di Singapore Expo, Hall 6. 

Terdapat lorong khas yang boleh digunakan oleh keluarga bersama kanak-kanak kecil, warga emas dan orang kurang upaya untuk beratur.

“Dengan lebih ramai orang yang kian menggunakan teknologi digital dalam hidup seharian, kami ingin membawa teknologi terbaru, supaya menjadikan sejarah Islam sesuatu yang senang dipelajari dan lebih menarik,” kata Setiausaha Kehormat dan Ketua Pegawai Korporat, Jamiyah Singapura, Encik Muhd Khair Baharin, dalam sidang akhbar pada 24 Januari. 

Sorotan utama SMF 2025 adalah pameran teknologi yang ditujukan memberi pengalaman agama dan budaya terbaik. 

Skrin LED 90 meter akan mempamerkan detik-detik penting kehidupan Nabi Muhammad saw dan membolehkan pengunjung mempelajari tentang Islam melalui teknologi. 

Pratonton skrin 90 meter yang memaparkan kehidupan Nabi Muhammad saw.
Pratonton skrin 90 meter yang memaparkan kehidupan Nabi Muhammad saw. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Terdapat lebih banyak video VR dan metaverse yang akan ditayangkan, iaitu video memaparkan Kaabah, rumah Nabi Muhammad saw, Masjid Al-Aqsa dan Masjid An-Nabawi. 

Seperti tahun lalu, acara Seerah, ‘Pameran Bergerak Antarabangsa’, akan mempamerkan artifak-artifak Nabi Muhammad saw, seperti serban, tongkat dan sebagainya. 

Acara Seerah tahun ini akan mengandungi artifak dari House of Islamic Arts, Arab Saudi dan pengunjung boleh menikmati koleksi fotografi di Makkah pada 1880 hingga 1909, manuskrip dari abad ketujuh hingga kelapan hijrah, serta karya seni Islam dari pelbagai zaman.

Menurut Encik Muhd Khair, SMF 2025 bertujuan memberi pengalaman terangkum bagi setiap keluarga.

Antaranya ialah Team Noon – siri animasi yang akan ditayangkan untuk kanak-kanak mempelajari tentang al-Quran dengan cara menarik. 

Jamiyah berharap orang bukan Islam juga akan mengunjunginya untuk mempelajari tentang sejarah Islam dan menggalakkan keharmonian kaum pelbagai bangsa dan agama. 

Encik Muhd Khair berkata sambutan daripada rakan kongsi dari pertubuhan agama lain pada tahun lepas amat positif.

3,000 pengunjung pertama yang mendaftar akan menerima senaskhah Al-Quran dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris. 

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.singaporemuslimfestival.com

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg