Jamiyah Singapura sangat teliti dalam pengendalian proses korban daripada tempahan, pemilihan haiwan korban, pelaksanaan hingga pembungkusan dan pengagihan.
Demi memastikan mutu terjaga, daging korban dipek dengan rapi di dalam bekas plastik dan diletakkan di dalam beg penyejuk agar daging tersebut tetap segar apabila peserta korban menerimanya.
Malah, Jamiyah memudahkan lagi pengalaman korban bagi peserta dengan menawarkan kaedah ‘drive-through’, atau pandu lalu, untuk pengambilan daging korban. Bagi yang memilih kaedah pandu lalu, sistem yang teratur mempercepatkan pengambilan daging korban mereka.
“Saya puas hati dengan khidmat pandu lalu yang disediakan Jamiyah. Sampai saja di pekarangan Pusat Islam Jamiyah, saya tak perlu tunggu lama menanti giliran saya mendapatkan daging korban saya. Semuanya dikawal dengan teratur dan lancar oleh pegawainya,” kata Cik Sue Hassan, 39 tahun, yang telah dua kali mendapatkan khidmat korban kendalian Jamiyah.
Seorang lagi peserta, Encik Azmi Mat, 61 tahun, mengakui bahawa khidmat hantar ke rumah pula amat menyenangkannya.
“Saya hanya perlu menunggu di rumah pada hari dan waktu yang ditetapkan untuk menerima daging korban saya. Seperkara lagi yang saya suka ialah daging korban yang dipek di dalam bekas plastik yang utuh dan ditutup rapi,” kongsinya.
Jamiyah Singapura menggembleng sukarelawannya untuk membantu melancarkan lagi kerja logistik dan operasi tertentu seperti pembungkusan, melabelkan beg, mengawal arus pandu lalu, penghantaran dan banyak lagi. Ia komited untuk memberi khidmat terbaik dan memudahkan setiap peserta yang menggunakan khidmat korbannya.
Jamiyah Singapura telah menyediakan khidmat korban sejak tahun 1970-an. Matlamatnya amat jelas iaitu bagi menunaikan niat masyarakat Muslim melaksanakan ibadah korban dan mengagihkan daging korban yang didermakan kepada mereka yang memerlukan.
Sejumlah 10,000 kilogram daging korban telah didermakan dan diagihkan kepada 4,200 penerima bantuan daripada peserta ibadah korban pada tahun 2023. Pada tahun 2024 pula, Jamiyah Singapura berharap dapat meningkatkan pengagihan kepada lebih 5,000 penerima bantuan melalui derma daripada peserta ibadah korban.
Korban akan dilaksanakan di dua negara iaitu Indonesia dan Australia. Di Indonesia, semua daging korban akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan di Medan, Jakarta, Banten dan Lombok. Bagi korban di Indonesia, harga seekor kambing biri-biri ialah $198 dan satu pertujuh lembu berharga $218. Tarikh tempahan korban di Indonesia bermula sekarang hingga 20 Mei 2024.
Di Australia pula, daging korban akan diterbangkan ke Singapura, dan peserta boleh mengambilnya sendiri atau dihantar kepada mereka pada 29 Jun 2024. Bagi korban di Australia, harga seekor kambing biri-biri ialah $325, seekor anak kambing $345 dan satu pertujuh lembu $388.
Tarikh tutup tempahan korban di Australia ialah pada 3 Jun 2024.
Bagi melaksanakan ibadah korban dan akikah melalui pesanan dalam talian, sila imbas kod QR yang disediakan. Anda juga boleh menghubungi talian 6743-1211, WhatsApp 9115-1211 atau e-mel kepada qurban@jamiyah.org.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg