Topik diikuti
Pergi ke BHkuJamiyah perkenal program AI bantu masyarakat teroka peluang kerjaya baru
Jamiyah perkenal program AI bantu masyarakat teroka peluang kerjaya baru
Jamiyah Singapura bakal menjalankan latihan kecerdasan buatan (AI) bagi orang ramai demi mencipta peluang untuk golongan belia dan dewasa dalam memperoleh kemahiran praktikal AI yang relevan dengan keperluan pekerjaan.
Latihan yang diberi nama AI Transformatif itu bukan sahaja akan memperkenalkan AI kepada peserta.
Malah, ia turut mencerahkan soal literasi AI, kemahiran digital dan pengekodan, bimbingan kerjaya, pementoran, pembangunan kebolehpasaran kerja, kepimpinan serta penggunaan AI secara beretika.
Dalam satu kenyataan media, Jamiyah berkata menerusi usaha tersebut, ia mahu menjadi penghubung antara potensi individu, teknologi dengan peluang pekerjaan, sambil memastikan masyarakat tidak sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan yang dibawa AI.
“Program AI Transformatif direka bukan sekadar untuk mengajar peserta menggunakan teknologi AI, malah untuk membantu mereka menjadikan teknologi itu sebagai kemahiran yang boleh digunakan dalam kehidupan dan kerjaya.
“Antara kemahiran yang diketengahkan menerusi program tersebut termasuklah penggunaan aplikasi AI generatif, kejuruteraan gesaan, atau prompt engineering, penggunaan AI untuk meningkatkan produktiviti, alat automasi serta penggunaan AI dalam keusahawanan,” kata pertubuhan itu.
Sebelum program itu dilancarkan bagi orang awam, Jamiyah telah pun memulakan latihan AI Transformatif untuk kakitangannya sebagai sebahagian daripada usaha membina keupayaan dalaman, serta memastikan tenaga kerjanya sendiri bersedia menghadapi perubahan yang dibawa AI.
Peserta turut didedahkan kepada beberapa penguasaan kemahiran yang lebih dekat dengan keperluan mencari pekerjaan.
Antaranya ialah perancangan kerjaya, penyediaan resume, memanfaatkan profil LinkedIn dengan lebih meluas, persediaan temu duga, komunikasi profesional, pemikiran kritis dan penjenamaan diri.
Menurut Jamiyah, pendekatan itu penting kerana manfaat AI tidak seharusnya hanya dinikmati oleh mereka yang sudah mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi semata.
Justeru, program AI Transformatif itu meletakkan kemahiran AI dalam konteks yang lebih luas, meneroka bagaimana AI boleh membantu seseorang bekerja dengan lebih baik, meningkatkan kebolehpasaran dan membuka laluan kepada peluang ekonomi baharu.
Bagi Jamiyah, matlamat mereka bukan sekadar ingin memastikan agar masyarakat tidak ketinggalan.
Malah, pertubuhan itu turut mahu membantu individu bergerak menjadi tenaga kerja yang yakin, berkemahiran dan bersedia memanfaatkan AI untuk mencipta peluang baharu.
Bagi orang ramai yang berminat untuk menyertai program AI Transformatif, pendaftaran boleh dibuat melalui lelaman bh.sg/JamiyahAI