Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jamuan Amal cari dana projek peningkatan

Majlis bertemakan ‘Kemakmuran Dalam Perpaduan’ berlangsung di Fairmont Hotel pada Julai 2024
Jun 30, 2024 | 5:30 AM
Masjid Darul Makmur yang terletak di Yishun Avenue 2 ini ditutup sepenuhnya dan masih memerlukan $3.9 juta untuk dana projek peningkatan.
Masjid Darul Makmur yang terletak di Yishun Avenue 2 ini ditutup sepenuhnya dan masih memerlukan $3.9 juta untuk dana projek peningkatan. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Masjid Darul Makmur kini sedang rancak menjalani projek peningkatan dan kerja naik taraf ini berjalan mengikut jadual yang ditetapkan. Mengulas perkara tersebut, Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, berkata projek peningkatan ini berjalan dengan lancar.

“Kerja peningkatan sedang berada pada fasa pertengahan dan dijangka siap mengikut masa yang ditentukan pada suku kedua tahun hadapan (2025). Namun buat masa ini, kami masih belum dapat mengumpul dana yang disasarkan,” jelas Encik Izuan.

Antara kerja utama yang akan dilakukan ialah memasang lif. Warga kerja masjid mengharapkan sokongan dan juga sumbangan derma daripada masyarakat agar kerja peningkatan ini dapat diselesaikan mengikut jadual. Projek peningkatan Masjid Darul Makmur ini dianggarkan menelan belanja sehingga $15 juta.

Encik Izuan berkata:

“Setakat ini sebanyak $11.1 juta daripada jumlah yang diperlukan telah terkumpul. Kami masih memerlukan $3.9 juta lagi.

“Kami bersyukur, kerana menerima sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat, namun usaha pengumpulan dana yang sedang dijalankan buat masa ini perlu dipertingkatkan agar jumlah dana yang kami sasarkan dapat dicapai.”

Masjid Darul Makmur yang berusia 37 tahun ini, memerlukan kerja peningkatan berskala besar agar ia dapat memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah.

Ini lebih utama lagi kerana banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang telah siap dan juga sedang dibangunkan di kawasan kejiranan Yishun, Canberra dan estet baru di kawasan Chencaru.

Buat masa ini, masjid dapat menampung sekitar 3,000 jemaah setiap waktu dan projek peningkatan ini akan menambah ruang solat bagi menampung lebih daripada 4,600 jemaah.

Antara kegiatan yang bakal berlangsung pada bulan hadapan, 14 Julai 2024, ialah acara Jamuan Amal, atau ‘Charity Lunch 2024’, yang bertemakan ‘Kemakmuran Dalam Perpaduan’. Acara ini merupakan salah satu usaha masjid untuk mencari dana.

“Alhamdulillah kos untuk mengadakan acara Jamuan Amal ini hampir ditaja sepenuhnya dan kami menyasarkan dana sebanyak $200,000 hasil daripada jualan tiket”, ujar Encik Izuan.

Jamuan Amal yang akan diadakan di Hotel Fairmont itu turut menerima sokongan daripada artis-artis tempatan bagi menjayakan dan menyokong projek murni ini.

Antara yang akan turun padang ialah Datuk Ramli Sarip, yang akan membuat persembahan bersama artis undangan lain. Penyanyi mapan itu berkata: “Saya memohon kepada semua agar menyokong usaha peningkatan Masjid Darul Makmur yang sedang rancak dibangunkan ini, dengan menyumbang seikhlasnya, dan anda juga diundang menghadiri acara Jamuan Amal yang akan diadakan di Fairmont Hotel.”

Seorang lagi penggiat seni tanah air yang sering dilihat membuat persembahan secara langsung dalam talian Facebook ialah Riduan Yusoff. Beliau yang juga telah membuat penampilan di beberapa acara kemasyarakatan berasa teruja kerana dapat memberikan sumbangan dan turut serta dalam usaha mengumpulkan dana bagi projek peningkatan ini.

Kata Riduan:

“Ini merupakan acara persembahan amal saya yang pertama di mana saya bersama-sama menyokong projek pengumpulan dana masjid.

“Saya terpanggil untuk memberikan sokongan dan amat gembira dapat bersama dengan artis lain yang turut membuat persembahan.”

Masjid Darul Makmur merayu kepada masyarakat agar menyokong acara ini dengan mendapatkan tiket segera supaya sasaran acara Jamuan Amal ini dapat dipenuhi.

Turut menjayakan acara ini ialah selebriti popular lain seperti Taufik Batisah, Hady Mirza bersama pengacara yang tidak asing lagi, AB Shaik dan Mariam Mas’od.

“Kami juga amat mengharapkan sokongan daripada masjid-masjid, badan dan pertubuhan Melayu/Islam, kumpulan akar umbi dan syarikat korporat lain, dengan menaja acara Jamuan Amal ini,” tambah Encik Izuan.

Masjid Darul Makmur masih mengalu-alukan tajaan dan sumbangan bagi menjayakan acara Jamuan Amal ini.

Tiket boleh dibeli di kaunter sementara di Masjid Assyafaah atau secara online di laman https://darulmakmur.mimbar.sg/event/3086

WAKAF DAN DERMA

Sumbangan wakaf dan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melaluI:

1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf/Infak).

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: Wakaf/Infak).

3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.

4. Hadir di pejabat sementara di Masjid Assyafaah (pada waktu pejabat).

5. Hubungi talian 6752-1402 untuk pengambilan derma $500 ke atas dari rumah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg