Topik diikuti
Pergi ke BHkuJamuan beriani daging korban eratkan ukhuwah keluarga Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah
Bermula 2025, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) menganjurkan FamFeast, gabungan perkataan ‘keluarga’ (family) dan ‘jamuan’ (feast), yang menghimpunkan pelajar, kakitangan MAI, Kumpulan Sokongan Ibu Bapa MAI serta bekas pelajar dalam satu acara makan bersama.
Hidangan utama ialah beriani kambing korban yang menyelerakan, hasil masakan guru Bahasa Tamil MAI, Cik Shameema Banu Mohamed Sheriff.
Beliau disokong oleh sukarelawan daripada Persatuan Khidmat Sosial India Muslim (IMSSA).
Sebelum ini, Cik Shameema dan pasukannya daripada IMSSA pernah bertahun-tahun menyumbangkan hidangan beriani kepada MAI sebagai kegiatan sukarela yang menerima sambutan amat memuaskan.
“Saya gembira diberi peluang masak hidangan beriani kambing korban kerana ia merupakan suatu rahmat dan memberikan saya kepuasan yang mendalam.
“Bagi saya, menyediakan makanan satu cara paling mudah namun amat bermakna bagi menunjukkan keprihatinan kepada orang lain,” kata Cik Shameema.
Pada 1 Julai 2026, sempena sambutan ulang tahun ke-80 penubuhan MAI, hidangan beriani daging korban turut diagihkan kepada kakitangan lima madrasah sepenuh masa yang lain di Singapura.
Ia bertepatan dengan matlamat MAI dalam membimbing pelajar agar menyebarkan rahmah kepada orang lain.
Usaha itu diharapkan dapat diterus dan diperluaskan pula kepada golongan lain dalam masyarakat yang lebih memerlukan pada acara FamFeast seterusnya.
Menurut Pengetua MAI, Cik Aisha Abdul Manaf, acara FamFeast sangat dinanti-nantikan pelajar dan kakitangan.
“FamFeast lebih daripada setakat menjamu selera, malah penting demi menanamkan semangat perpaduan dan keharmonian serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan pelajar, guru, ibu bapa dan bekas pelajar.
“Saya juga bersyukur kerana barakah FamFeast kali ini dapat dinikmati oleh ramai lagi asatizah di luar keluarga MAI; suatu kenangan yang saya tidak akan lupakan memandangkan tahun ini (2026) tahun terakhir saya di madrasah ini.”
Dengan penganjuran acara tahunan seperti FamFeast, pihak MAI amat mengharapkan agar pelajar terdorong melakukan kerja sukarela walaupun setelah menamatkan pengajian di madrasah.
Pelibatan bekas pelajar MAI juga amat dialu-alukan kerana mereka boleh menjadi jambatan yang menghubungkan MAI dengan dunia luar.
Justeru, terdapat banyak manfaat yang diperoleh daripada penganjuran acara seperti FamFeast, yang banyak bergantung kepada sokongan dan sumbangan kewangan orang ramai, demi membina generasi pelajar yang sedia berbakti kepada masyarakat.
Penulis Guru Bahasa Melayu, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.
SEKILAS
Untuk menyokong Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah serta meneruskan misi murninya dalam melahirkan generasi pelajar berilmu, berakhlak dan bersedia dalam menghadapi masa depan, orang ramai dialu-alukan menyalurkan sumbangan kepada UEN T08GB0028LMAI atau dengan mengimbas kod QR yang tertera.

