Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Janil: SkillsFuture bantu tangani cabaran ekonomi yang lebih besar

Nov 6, 2025 | 8:07 PM
Menteri Kanan Negara (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary di sidang Parlimen pada 6 November.
Menteri Kanan Negara (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary di sidang Parlimen pada 6 November. - Foto MDDI

Terdapat syarat bagi jenis kursus yang boleh digunakan dengan kredit SkillsFuture untuk memastikan niat dasar tersebut tercapai, kata Menteri Kanan Negara (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary.

Beliau menambah bahawa kaitan langsung antara kredit SkillsFuture dengan pekerjaan bukanlah objektif utama bagi permulaan Kredit SkillsFuture sebanyak $500.

“Sebagai contoh, kredit tambahan SkillsFuture sebanyak $4,000 bagi golongan pertengahan kerjaya disasarkan kepada individu berusia 40 tahun dan ke atas, dan hanya boleh digunakan bagi kursus terpilih yang mempunyai objektif pekerjaan lebih kukuh,” jelas Dr Puthucheary.

Dr Puthucheary berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Encik Shawn Loh (GRC Jalan Besar) di sidang Parlimen pada 6 November.

Encik Loh bertanya tentang sejauh mana kursus SkillsFuture mempunyai kaitan dengan pekerjaan peserta, serta sama ada kementerian telah menimbangkan syarat bagi memastikan kesesuaian dalam penggunaan kredit tersebut.

Encik Loh menambah bahawa ramai Anggota Parlimen (AP) telah memberi tumpuan kepada penggunaan kredit SkillsFuture dan cara meningkatkan pendaftarannya.

“Saya rasa itu soalan yang kurang tepat. Saya rasa soalan yang patut kita tanyakan ialah bagaimana kredit SkillsFuture membantu menangani cabaran ekonomi yang lebih besar pada masa ini, bagaimana ia dapat memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat, yang seterusnya membawa kepada peningkatan kemahiran bagi pekerjaan lebih baik,” kata Encik Loh.

Beliau turut bertanya sama ada pihak berkuasa mengukur tahap peningkatan dalam budaya pembelajaran sepanjang hayat, dan sama ada ia juga dapat mengukur bagaimana budaya pembelajaran sepanjang hayat diterjemahkan kepada budaya pemerolehan kemahiran.

Memberi jawapannya, Dr Puthucheary berkata: “Kami akan terus berusaha untuk memperbaiki dan membangunkan lebih banyak data berhubung isu ini. Malah, kami sudah pun bergerak ke arah itu.

“Sesungguhnya, sebahagian daripada pembiayaan kami tertumpu kepada pembangunan budaya tersebut, manakala sebahagian lagi ditumpukan kepada penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan peluang.”

Secara berasingan, beliau menjelaskan bahawa SkillsFuture Singapore (SSG) telah mengambil tindakan susulan terhadap maklum balas awam untuk mengelakkan amalan tidak wajar daripada berleluasa.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Dr Charlene Chen (GRC Tampines) mengenai langkah sedia ada untuk mengesan dan mencegah penyalahgunaan kredit SkillsFuture secara proaktif.

Dr Puthucheary menjelaskan bahawa di bawah syarat SSG bagi penyedia latihan, terdapat garis panduan pemasaran ketat yang melarang penyedia latihan daripada membuat tuntutan berlebihan, menawarkan insentif kewangan sebagai pertukaran bagi pendaftaran kursus, atau menggunakan taktik pemasaran agresif.

Memandangkan bilangan penyedia latihan yang besar, SSG melengkapkan pemantauan terhadap tingkah laku pemasaran mereka dengan bergantung pada maklum balas serta laporan daripada orang awam dan pelajar apabila garis panduan SSG dilanggar.

“Apabila pelanggaran dikesan, SSG akan mengambil tindakan penguatkuasaan,” tekan Dr Puthucheary.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg