Sekitar 8,500 individu telah menyertai program SkillsFuture untuk membolehkan diri mereka beralih ke sektor atau peranan pekerjaan baru - sekitar enam kali ganda berbanding jumlah penyertaan pada 2024.
Peningkatan itu dicatat setelah pekerja pertengahan kerjaya menggunakan tokokan Kredit SkillsFuture $4,000 yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 bagi warga Singapura berumur 40 tahun dan ke atas.
Dari 1 Mei 2024 hingga 30 April 2025, lebih 36,000 warga Singapura telah menggunakan kredit itu, dengan tuntutan mencecah lebih $24 juta, kata Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, pada 25 September.
Dalam tempoh tersebut, bilangan individu yang menyertai kursus Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture (SCTP) meningkat daripada 1,500 kepada 8,500, kata Dr Janil ketika menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) mengenai kadar penggunaan dan hasil kerjaya program SkillsFuture.
Daripada hampir 4,300 peserta, yang sebelumnya menganggur , dalam SCTP sejak program itu dijalankan pada Jun 2022 hingga Disember 2024, sekitar 55 peratus berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan kursus, tambahnya.
Dr Janil juga memaklumkan mengenai kadar penyertaan Elaun Latihan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture – satu lagi skim yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 – yang memberi pekerja yang layak hingga $3,000 sebulan semasa mereka mengikuti latihan sepenuh masa.
Hingga akhir Julai 2025, lebih 3,200 warga Singapura telah memohon elaun latihan itu, dengan lebih $30 juta telah disalurkan sejak program itu bermula pada 1 Mei.
Dr Janil menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan AP mengenai program SkillsFuture serta perkara berkaitannya, lapor The Straits Times (ST).
Encik Henry Kwek (SMC Kebun Baru) bertanya mengenai nasib 45 peratus peserta SCTP yang tidak memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan, dengan menekankan bahawa mereka adalah pekerja yang bermotivasi tinggi dan berkemahiran.
Dr Janil berkata peserta memerlukan masa untuk mendapat manfaat daripada program itu.
“Walaupun anda mempunyai kelayakan, anda kini perlu menggunakannya dalam pekerjaan, membangunkan prospek kerjaya dalam peranan dan tugasan baru, dan ia mungkin mengambil masa sebelum manfaatnya dapat diukur dan dibentangkan,” jelas Dr Janil.
Beberapa pengajaran yang diperoleh menerusi SCTP termasuk keperluan menyelaraskan kurikulum kursus dengan keperluan majikan, serta menggalakkan majikan mengambil bahagian atau memaklumkan kepada penyedia latihan mengenai kemahiran tertentu yang mereka hargai, kata Dr Janil.
Menjawab soalan lain yang dikemukakan oleh Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West), Dr Janil berkata pemerintah menggunakan pelbagai metrik selain perubahan gaji dan kadar penempatan kerja untuk menilai keberkesanan program SkillsFuture.
Ini termasuk tinjauan program khusus dan kajian ekonometrik, iaitu penggunaan alat statistik untuk mengukur data ekonomi.
SkillsFuture Singapore (SSG) juga menggunakan tinjauan Pengukuran Mutu dan Hasil Latihan (Traqom) yang membolehkan peserta kursus menilai kualiti dan hasil program yang dibiayai oleh SSG, tambahnya.
Dr Hamid telah bertanya sama ada pemerintah boleh memberi pecahan mengikut sektor bagi hasil pekerjaan daripada program pembelajaran dewasa, supaya keberkesanan program itu dapat dinilai dengan lebih jelas.
Dr Janil berkata terdapat kajian ekonometrik dengan data kukuh yang telah diterbitkan, termasuk laporan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 2024.
Laporan tersebut mendapati lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik yang meningkatkan kemahiran melalui Program Bekerja dan Belajar SkillsFuture menerima gaji 6 hingga 11 peratus lebih tinggi berbanding rakan sebaya yang terus memasuki pasaran kerja.
Namun, pecahan terperinci mengikut sektor tidak selalu tersedia kerana bilangan peserta kajian yang terhad.
“Selain itu, hasil gaji dan pekerjaan tidak memberikan gambaran penuh (mengenai keberkesanan program),” kata Dr Janil.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg