Graduan baharu mungkin akan mendapat program latihan yang lebih panjang dan tersusun, manakala lebih ramai pekerja yang sedang dalam peralihan kerjaya mungkin akan layak menerima sokongan.

Ini sejajar dengan usaha pemerintah memastikan skim sedia ada “kekal relevan dengan tujuannya”, kata Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau.

Beliau menegaskan bahawa walaupun kadar pengangguran kekal rendah dan prestasi graduan masih kukuh, dengan kebanyakan graduan mendapat tawaran kerja dalam tempoh enam bulan atau lebih, terdapat tanda-tanda pengambilan pekerja semakin perlahan serta fenomena “job hugging” (pekerja enggan berpindah kerja).

Bilangan pekerja yang diberhentikan meningkat daripada 4,620 orang pada suku kedua 2026 kepada anggaran awal 4,800 orang pada suku ketiga, angka tertinggi sejak pandemik COVID.

Pemerintah menjangkakan angka itu akan kekal pada paras tersebut, kata Cik Lau dalam temu ramah pertamanya bersama media tempatan sejak mengambil alih kementerian berikutan rombakan Kabinet pada Julai.

Walaupun Kementerian Tenaga Manusia (MOM) terus memantau kesihatan pasaran pekerja dalam tempoh dua suku tahun akan datang untuk melihat trend mana yang berterusan, kementerian itu tidak menunggu sebelum bertindak, tambah beliau.

“Banyak langkah yang kami ingin laksanakan bersifat jangkaan awal. Memandangkan keadaan (pasaran buruh) berkemungkinan bertambah buruk atau semakin lemah, biarlah kita buat sesuatu untuk memberi lebih keyakinan kepada pekerja kita tentang tahun-tahun mendatang.”

MOM turut meneliti lebih banyak sokongan untuk warga emas, memperkukuh perlindungan undang-undang untuk pekerja kolar putih, dan menggalakkan lebih banyak susunan kerja fleksibel.

Cik Lau berkata kementerian sedang meneliti langkah untuk menggalakkan majikan yang berkemampuan membayar faedah pemberhentian, menerusi kajian semula undang-undang buruh utama Singapura. 

Antaranya termasuk menyekat akses majikan kepada pekerja asing atau geran sekiranya mereka menahan faedah tersebut semasa memberhentikan pekerja. 

MOM merancang untuk menyesuaikan skim sedia ada bagi memberi sokongan lebih baik kepada pekerja, dan bukannya mewujudkan skim baharu, kerana rakyat Singapura tidak memerlukan “lebih banyak senarai skim dan singkatan baharu”, kata Cik Lau.

“Mereka perlu rasa yakin bahawa skim sedia ada mampu membantu mereka.”

Bercakap kepada wartawan The Straits Times (ST) dan Lianhe Zaobao di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) pada 6 November, beliau berkata kadar pemberhentian pekerja ketika ini bukan petanda kemelesetan ekonomi dan ia pernah berlaku beberapa kali sepanjang dekad lalu. 

Namun ia tetap menandakan bahawa lebih banyak peralihan kerjaya bakal berlaku, katanya.