Topik diikuti
Pergi ke BHkuJasmin Lau: Program pelatih lebih panjang jamin peluang kerja bagi lepasan baru dirancang
Jasmin Lau: Program pelatih lebih panjang jamin peluang kerja bagi lepasan baru dirancang
Jasmin Lau: Program pelatih lebih panjang jamin peluang kerja bagi lepasan baru dirancang
Program latihan berstruktur yang disokong pemerintah dengan tempoh lebih panjang di syarikat sedang dirancang, kata Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau.
Beliau berkata program pelatih seumpama itu dapat melengkapkan lepasan baharu bukan hanya dengan kemahiran untuk memulakan kerjaya, malah bagi melangkah ke anak tangga kerjaya seterusnya dalam sektor yang sedang berkembang.
Skim yang berpotensi diperkenalkan itu juga perlu membawa kepada pekerjaan sepenuh masa, kata Cik Lau dalam wawancara pertamanya bersama media setempat sejak menggalas portfolio di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) susulan rombakan Kabinet pada Julai lalu.
Menurutnya, skim itu akan mengambil pengajaran daripada skim Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (Grit) yang dirangka sebagai tindak balas terhadap ketidaktentuan ekonomi global serta kemungkinan berlakunya kelembapan atau kemelesetan ekonomi.
Dilancarkan pada Oktober 2025, Grit menawarkan program latihan selama tiga hingga enam bulan kepada lepasan institusi pengajian tinggi tempatan di 50 syarikat dalam sektor seperti pengilangan, perkhidmatan kewangan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta perkhidmatan profesional.
Satu lagi skim berkaitan turut menawarkan peranan dalam sektor awam.
Program berkenaan telah membuahkan hasil yang memberangsangkan dengan enam daripada 10 alumninya berjaya mendapat pekerjaan, kata Cik Lau.
Namun, beliau menarik perhatian bahawa pelaburan syarikat dalam aspek latihan adalah terhad jika tempoh program pelatih hanya ditawarkan selama tiga bulan, justeru pihak berkuasa sedang merangka skim baharu yang “lebih bermakna dari segi latihan”.
“Kami sedang meneliti bagaimana untuk melaksanakan sesuatu yang tempohnya lebih panjang, dan sesuatu yang bukan hanya direka untuk menghadapi kelembapan ekonomi, kemelesetan, atau kejutan pasaran,” katanya.
Kenyataan Cik Lau itu menyusul selepas beberapa pemimpin pemerintah sejak beberapa minggu kebelakangan ini menyuarakan kebimbangan bahawa kecerdasan buatan (AI) akan menghapuskan anak tangga pertama dalam laluan kerjaya – merujuk kepada pekerjaan peringkat permulaan tradisional.
Pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata majikan perlu mengambil pendekatan lebih terancang dalam melatih serta membimbing pekerja baharu mereka, selain memaklumkan bahawa pemerintah sedang meneliti keperluan melancarkan skim baharu.
Sementara itu, Presiden Tharman Shanmugaratnam menyatakan bahawa pengambilan pekerja peringkat permulaan di peringkat sejagat semakin merosot akibat gangguan AI.
Justeru, negara perlu bekerjasama dengan sektor privet bagi menggalakkan pengambilan lepasan baharu.
Dalam wawancara itu, Cik Lau berkata terdapat persetujuan bahawa anak tangga pertama dalam laluan kerjaya “mula kelihatan rapuh”, namun persoalan yang lebih besar adalah mengenai keperluan pada peringkat kerjaya seterusnya, serta cara untuk melatih lepasan supaya dilengkapi kecekapan tersebut.
“(Kemahiran itu) perlu diperincikan dan kemudian dimasukkan ke dalam program latihan. Itulah yang akan dilakukan oleh program ini,” katanya.
MOM perlu bekerjasama rapat dengan syarikat bagi menjayakan perkara ini, manakala firma terlibat juga mesti melabur dalam aspek latihan dan menyediakan “bimbingan secara rapat”.
Syarikat juga harus memberikan komitmen bahawa terdapat peluang pekerjaan menanti para pelatih di penghujung program pelatih atau perantisan itu, tambahnya.
“Latihan harus membuahkan hasil pekerjaan, dan jika syarikat komited mengenainya, kami lebih berbesar hati untuk menyokong kedua-dua pihak syarikat dan lepasan baharu dalam program sedemikian,” kata menteri itu.