Ada yang ingin tahu apakah bakat Singapura, Shazza, atau nama sebenarnya, Shareefa Aminah Abdul Shariff, mempunyai cita-cita untuk menebarkan sayap dan membina kerjayanya di luar Singapura.
Tidak kurang pula yang teruja ingin mencungkil sumber inspirasinya dan apa yang dilakukan jika kebuntuan idea mahupun kisah di sebalik pengalaman putus cintanya yang terkandung dalam lagu ‘hit’ yang sudah distrim hampir 2 juta kali di Spotify, Right Person, Wrong Time.
Jika kebiasaannya, Shazza, 23 tahun, penerima Anugerah Jauhari Harapan 2023, Berita Harian, menjawab pertanyaan wartawan yang jauh lebih dewasa daripadanya, beliau kini dihujani soalan peserta Kem Wartawan Muda, anjuran suratkhabar pelajar Gen G, Berita Harian, pula.
Shazza yang membanggakan Singapura apabila wajahnya terpampang pada papan iklan di Times Square, sebagai sebahagian kempen kesaksamaan jantina Spotify, Equal, merupakan tetamu kem yang diadakan selama dua hari dan disertai 60 peserta,
Antara lain, kem ini mengajar pelajar aspek asas kewartawanan dalam penulisan berita, rakaman foto dan video.
Wartawan, Encik Muhaimin Suzaini, membimbing pelajar teknik penulisan berita.
Sidang akhbar selama sejam pula dikendalikan Ketua Gaya Hidup, Cik Haryani Ismail.
Kata Shazza: “Saya terhibur menjawab soalan peserta yang bersahaja. Saya lihat ada yang banyak soalan untuk diajukan. Diharapkan perkongsian saya memberi inspirasi buat belia memburu cita-cita mereka. Tiada yang perlu digentarkan asal sahaja anda ikhlas.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg