Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatankuasa berbilang agensi dibentuk, kurangkan kesulitan penduduk pindah ke flat BTO baru

Apr 13, 2025 | 11:00 AM

Antara 2025 dengan 2030, sekitar 130,000 flat BTO akan siap dibina.
Antara 2025 dengan 2030, sekitar 130,000 flat BTO akan siap dibina. - Foto ST

Sebuah jawatankuasa berbilang agensi telah ditubuhkan untuk memastikan kemudahan infrastruktur penting dan perkhimatan asas dapat disiapkan tepat pada masanya.

Ini supaya dapat mengurangkan kesulitan kepada penduduk apabila mereka berpindah ke flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru mereka.

Mengumumkan inisiatif nasional ini pada 12 April semasa pameran bergerak Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi pemilik rumah yang akan berpindah ke pembangunan BTO di Tampines GreenOpal, Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, berkata:

“Dengan program pembinaan yang begitu meluas, adalah lebih penting bagi kita memperkukuhkan usaha perancangan dan penyelarasan demi memberikan pengalaman berpindah yang lebih baik buat penduduk baru.”

Antara 2025 dengan 2030, sekitar 130,000 flat BTO akan siap dibina.

Encik Tan berkata jumlah pembinaan BTO dijangka mencapai kemuncak pada 2026 dan 2027, dengan pembinaan bagi hampir 150 projek dijalankan.

Program pembinaan flat BTO telah kembali normal setelah semua projek yang terjejas akibat pandemik Covid-19 berjaya diselesaikan, menurut HDB pada Mac 2025.

Diterajui Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan HDB, jawatankuasa baru itu antara lain merangkumi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Persatuan Rakyat (PA).

Antara isu yang ingin ditangani termasuk memperbaiki waktu penyediaan kemudahan penting seperti rangkaian isyarat mobile dan laluan pejalan kaki supaya ia dapat sedia digunakan apabila penduduk berpindah masuk.

Jawatankuasa itu juga akan meneliti bagaimana kedai-kedai dan pusat jagaan kanak-kanak boleh mula beroperasi lebih awal untuk menyokong penduduk baru, sambil memastikan mereka mempunyai pengguna mencukupi untuk bertahan.

Tumpuan turut diberikan kepada penyediaan kemudahan kawasan perumahan dan landskap yang siap pada masa yang sama dengan penyerahan kunci, agar kemudahan tersebut dapat segera dinikmati oleh penduduk.

Isu-isu ini pernah dialami penduduk flat BTO di Tengah, bandar baru pertama Singapura dalam tempoh lebih 20 tahun.

Walaupun keadaan telah bertambah baik, pemilik rumah pertama yang berpindah pada 2023 menghadapi cabaran seperti isyarat telefon bimbit yang kurang baik, ketiadaan pasar raya berhampiran dan akses pengangkutan awam yang terhad.

Encik Tan berkata agensi dalam jawatankuasa ini akan memperkukuh integrasi antara agensi serta meningkatkan komunikasi dan usaha pendekatan untuk memaklumkan penduduk mengenai perkembangan terkini.

Bagi kawasan perumahan baru seperti Bayshore dan Mount Pleasant, di mana kemudahan tertentu mungkin tidak siap sepenuhnya semasa penyerahan kunci, Encik Tan berkata langkah sementara akan dipertimbang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg