Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow, telah dilantik ke badan kepimpinan tertinggi Parti Tindakan Rakyat (PAP), bersama tiga anggota lain, menurut kenyataan parti itu pada 5 November.

Encik Siow merupakan Anggota Parlimen (AP) penggal pertama yang menyertai politik susulan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), dan baru sahaja dinaikkan pangkat sebagai menteri pada Julai 2026.

Turut dilantik adalah Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Encik Ng Chee Meng; Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann; serta calon PAP bagi GE2025, Cik Chan Hui Yuh.

Mereka menyertai 14 anggota lain yang sebelum ini dipilih dan dilantik ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) ke-39 PAP semasa pemilihan dalaman parti pada 25 Oktober.

Dengan pelantikan terbaru itu, CEC kini mempunyai 18 anggota, iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan di bawah perlembagaan parti.

Pada pemilihan 25 Oktober, lebih 2,000 kader parti mengundi bagi memilih 12 anggota daripada senarai 19 calon yang dikemukakan.

Dua lagi anggota, Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng, serta Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, dilantik selepas memperoleh jumlah undi ke-13 dan ke-14 tertinggi.

Encik Siow dan Cik Sim sebelum ini tidak berjaya mendapatkan tempat melalui undian tersebut.

CEC turut mengekalkan barisan pemegang jawatan utamanya.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, kekal sebagai Setiausaha Agung; Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, sebagai Pengerusi; dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, sebagai Naib Pengerusi.

Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, kekal sebagai Penolong Setiausaha Agung, manakala Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, kekal sebagai Bendahari.

Dalam satu lagi pengumuman, PAP turut memperkenalkan beberapa pelantikan bagi Jawatankuasa Eksekutif Ibu Pejabat (HQ Exco).

Menteri Negara Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Encik Desmond Tan, dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam, mengekalkan jawatan sebagai Penolong Setiausaha Penganjur.

Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, turut dilantik ke jawatan itu.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, pula dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Warga Emas PAP, menggantikan Dr Tan See Leng.

Sementara itu, Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Tindakan Iklim PAP, menggantikan Encik Koh Poh Koon, yang meletak jawatan politik pada 1 Jun.