Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah sedia agenda bantu rakyat tangani kos, jamin pekerjaan baik
PM Lawrence Wong berkata pertumbuhan ekonomi perlu bawa kehidupan lebih baik untuk warga; pemerintah ada agenda penuh untuk penggal khidmat ini
Pemerintah sedia agenda bantu rakyat tangani kos, jamin pekerjaan baik
Tugas pemerintah bukan sekadar memastikan ekonomi terus tumbuh, malah memastikan pertumbuhan tersebut menghasilkan kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyat Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Encik Wong menekankan perkara tersebut ketika berucap kepada sekitar 3,000 aktivis parti di Persidangan dan Anugerah Parti Tindakan Rakyat (PAP) 2026 yang diadakan di Expo pada 25 Oktober.
Walaupun landskap dunia kini semakin berbahaya dan penuh ketidaktentuan, Singapura mengharungi cabaran tersebut daripada kedudukan yang kukuh.
Negara ini kekal sebagai rakan yang dipercayai, serta destinasi menarik bagi perniagaan dan pelabur, kata Encik Wong.
Sepanjang bulan lalu, Singapura menyambut kedatangan ramai pengunjung, terutamanya semasa acara Formula Satu (F1). Encik Wong telah bertemu dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat-syarikat semikonduktor utama yang berminat memperluaskan operasi di sini, dan pengasas syarikat pemula teknologi yang lihat Singapura sebagai pangkalan untuk melabur, berinovasi dan mengembangkan perniagaan mereka.
Di samping itu, Singapura juga secara aktif memperkukuh kerjasama merentasi rantau yang berbeza.
Misalnya, Presiden Tharman Shanmugaratnam baru sahaja mengadakan lawatan negara ke Sweden, dan Encik Wong pula baru sahaja pulang dari Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
“Negara-negara ini terletak di bahagian berbeza di dunia. Namun, mereka semua lihat nilai dalam bekerjasama rapat dengan Singapura.
“Itu mencerminkan kepercayaan dan muhibah yang telah kita bina selama bertahun-tahun. Singapura dikenali sebagai rakan kongsi yang boleh diharap, hab yang dipercayai, dan sebuah negara yang menunaikan komitmennya,” kata beliau, yang juga Setiausaha Agung PAP.
Reputasi tersebut merupakan aset penting, terutamanya dalam dunia hari ini yang berpecah-belah dan tidak menentu, dengan ia membantu Singapura menarik pelaburan bermutu tinggi.
Pelaburan tersebut juga menyokong pertumbuhan, mewujudkan peluang pekerjaan dan membolehkan pendapatan meningkat, tambah Encik Wong.
Namun, Encik Wong berkata beliau maklum bahawa perangkaan utama tidak menceritakan keseluruhan gambaran.
Sesetengah sektor menghadapi tekanan, manakala sebahagian pekerja pula menghadapi cabaran mengikuti perkembangan daripada peluang-peluang baru.
Khususnya, pekerja bergaji rendah bimbang tentang kos yang semakin meningkat, dan rakyat Singapura dalam lingkungan usia 40-an dan 50-an tahun yang hilang pekerjaan pula bimbang sama ada mereka boleh mencari pekerjaan baru.
Encik Wong berkata pemerintah memahami keprihatinan ini dan akan menanganinya.
Beliau menambah bahawa pasukannya mempunyai agenda penuh bagi penggal pentadbiran pemerintah kali ini, termasuk dalam menangani tekanan kos sara hidup, membantu rakyat meraih pekerjaan yang lebih baik, dan memperkukuh sokongan merentasi peringkat kehidupan yang berbeza.
Misalnya, semasa Rapat Hari Kebangsaan 2026, Encik Wong telah mengumumkan pakej sokongan bagi keluarga dengan anak-anak, termasuk sokongan yang menyediakan sekitar $70,000 bagi setiap kanak-kanak Singapura, dari lahir hingga mereka mencapai usia 17 tahun.
Sebahagian cabaran bagaimanapun lebih sukar ditangani kerana ia merentasi sempadan negara, termasuk isu penipuan dalam talian dan jerebu, dan Singapura memerlukan kerjasama daripada negara-negara lain untuk menyelesaikan masalah tersebut, tambah beliau.
“Kita akan melakukan segala-galanya dalam keupayaan kita untuk melindungi rakyat Singapura, memperkukuh tindakan kita sendiri, dan bekerjasama dengan para rakan kongsi bagi menangani masalah ini di puncanya,” kata beliau.
Pada masa yang sama, pemerintah juga sedang mengusahakan lebih banyak lagi untuk membantu rakyat Singapura yang menghadapi cabaran dalam kehidupan dengan bekerjasama rapat dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan kesatuan sekerja untuk membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan serta bangkit semula.
Sedang pemerintah menyediakan sokongan, Encik Wong menggesa rakyat Singapura agar turut memainkan peranan mereka – pekerja perlu bersedia untuk belajar dan menyesuaikan diri, ibu bapa perlu beri anak-anak ruang untuk berkembang mengikut rentak masing-masing, dan keluarga mesti saling ambil berat antara satu sama lain.
“Singapura yang kita impikan tidak boleh sekadar disediakan oleh pemerintah kepada rakyat Singapura. Ia mesti dibina bersama rakyat Singapura.
“Dan itulah perkongsian yang kita usahakan: pemerintah PAP yang mendengar, bertindak dan menunaikan janji; rakyat yang tampil ke hadapan dan menyumbang; sebuah masyarakat di mana semua orang saling mengambil berat antara satu sama lain.
“Begitulah caranya kita membina Singapura yang lebih baik – bersama-sama,” kata beliau.
