Seorang bekas pengerusi eksekutif dua masjid tempatan telah dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada 26 Jun atas satu tuduhan rasuah.

Ketika kesalahan dilakukan, Abdul Rahim Mawasi, 59 tahun, merupakan pengerusi eksekutif Masjid Darul Aman di Jalan Eunos dan Masjid Sallim Mattar di MacPherson.

Dia juga merupakan pegawai kanan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang dipinjamkan ke masjid berkenaan.

Menurut dokumen mahkamah, dia telah membocorkan maklumat sulit berkaitan sebut harga kepada seorang rakannya, sekali gus membolehkan syarikat rakannya itu memenangi kontrak pembinaan di kedua-dua masjid berkenaan bernilai $223,000, secara tidak adil.

Abdul Rahim, yang kini tidak lagi memegang jawatan di dua masjid berkenaan, didapati bersalah pada April selepas sesi perbicaraan.

Rakannya, Mohd Mustaqim Kam, juga dikenali sebagai Kam Hock Beng, 66 tahun ketika itu, telah dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada Februari 2025.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Bryan Wong berkata Abdul Rahim, yang menyertai Muis pada 2005, telah dipinjamkan ke kedua-dua masjid tersebut bagi mempengerusikan lembaga pengurusan.

Dalam prosiding pada 2025, mahkamah diberitahu bahawa pada Julai 2018, Abdul Rahim telah mencadangkan kepada Kam untuk menubuhkan sebuah syarikat pelancongan bagi ibadah umrah.

Kam, yang merupakan pengarah di syarikat pembinaan Zeal-Con Engineering, bersetuju dengan cadangan itu.

Kedua-dua lelaki itu juga bersetuju bahawa Abdul Rahim tidak perlu mengeluarkan sebarang modal untuk menubuhkan syarikat pelancongan tersebut.

Sebagai balasan, dia perlu membantu Kam mendapatkan projek pembinaan daripada Masjid Darul Aman dan Masjid Sallim Mattar.

Kam kemudian akan menggunakan keuntungan daripada projek tersebut sebagai modal bagi syarikat berkenaan.

Pada 2018, Masjid Darul Aman mencari vendor untuk menjalankan kerja pembinaan di ruang halamannya. Zeal-Con menyerahkan dua sebut harga kepada pihak masjid bagi kerja berkenaan.

Sebut harga pertama pada 20 Ogos 2018 ditetapkan pada $128,600, manakala sebut harga kedua pada 12 September 2028 ditetapkan pada jumlah lebih rendah iaitu $118,000.

Menurut DPP itu, sebut harga yang diubah itu adalah lebih rendah berbanding bidaan kedua terdekat bernilai $125,500 yang dihantar syarikat lain.

Pada 26 September 2018, Zeal-Con telah dianugerahkan kontrak tersebut pada harga $118,000.

DPP Wong menambah bahawa lembaga pengurusan masjid tidak menyedari bahawa Abdul Rahim telah “mengadakan perbincangan mendalam dengan Kam mengenai harga bidaan Zeal-Con, malah memberi bayangan harga yang penting kepada Kam sehingga membolehkan Zeal-Con mendapat kontrak tersebut”.

Taktik serupa turut digunakan bagi sebut harga untuk kerja pembinaan di Masjid Sallim Mattar antara 2018 dengan 2019, dengan bukti menunjukkan bahawa Abdul Rahim telah menasihati Kam agar mengurangkan sebut harga Zeal-Con bagi memastikan kontrak tersebut diperolehi syarikat itu, tambah DPP.

Namun, DPP Wong menyatakan tiada bukti jelas menunjukkan Masjid Darul Aman dan Masjid Sallim Mattar mengalami kerugian besar memandangkan kerja oleh Zeal-Con telah disiapkan secara memuaskan.

Meski demikian, beliau menegaskan, Abdul Rahim telah melakukan kesalahan rasuah sektor awam yang serius demi keuntungan kewangan.

Pada 26 Jun, pihak peguam bela, Encik Satwant Singh Sarban Singh, memohon agar Abdul Rahim dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan dan menyatakan anak guamnya itu tidak mempunyai sebarang rekod sabitan lampau.

Ikat jamin Abdul Rahim ditetapkan pada $30,000, dan dia dijangka mula menjalani hukuman penjara pada 10 Julai.