Semasa tempoh menunggu hukuman bagi kesalahan menimbulkan gangguan dan mencuri, seorang lelaki yang dibebaskan dengan ikat jamin peribadi mencetuskan masalah baharu selepas memulakan api di luar sebuah masjid di Raffles Place.

Martin See Hock Leng, 50 tahun, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan dua minggu pada 25 November selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan ketiganya iaitu satu tuduhan cubaan melakukan perbuatan nakal menggunakan api.

Dalam kesalahan terbaharunya itu, See mengutip sebuah tin logam berhampiran Boat Quay pada 25 September dan berjalan menuju ke Masjid Moulana Mohamed Ali yang terletak di aras bawah tanah bangunan UOB Plaza.

Dia menyumbat sehelai pakaian dalam ke dalam tin tersebut sebelum meletakkannya di atas sebuah pelantar di luar masjid itu.

Selepas itu, dia membakar pakaian berkenaan lalu beredar.

Seorang individu yang melalui kawasan tersebut memaklumkan perkara itu kepada kakitangan masjid, yang kemudiannya memadamkan api berkenaan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah merakam perbuatan See, dan dia didakwa tidak lama selepas itu.

Dalam kes terdahulu, See mencuri seutas rantai leher bernilai $15 daripada sebuah kedai di Arab Street pada 23 Mei.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Dia diberkas dua hari kemudian dan dibebaskan dengan ikat jamin peribadi pada 26 Mei.

Pada 24 Jun lalu pula, See berada di Gereja Novena di Thomson Road, di mana dia menghina seorang wanita dengan menuduhnya sebagai penganut agama lain.

Dia juga menjerit dengan mengatakan bahawa wanita itu “tidak berdoa dengan cara yang betul”.

Wanita tersebut kemudian menunjukkan salib yang dipakainya dan memberitahunya bahawa beliau beragama Katolik Rom.

Meskipun begitu, dia menyuruh wanita berkenaan meninggalkan gereja itu sehingga wanita itu menangis.

Pada 25 November, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Eugene Ho berkata pesalah berulang itu, yang mempunyai sejarah gangguan skizoafektif, telah dikenakan perintah rawatan mandatori (MTO) pada 2025 atas tuduhan nakal yang tidak berkaitan.

Gangguan skizoafektif ialah sejenis masalah kesihatan mental yang dicirikan oleh gabungan simptom skizofrenia – seperti halusinasi dan delusi – serta simptom gangguan emosi, seperti kemurungan.

Pesalah yang dijatuhi MTO perlu menjalani rawatan bagi menangani masalah kesihatan mental mereka sebagai ganti hukuman penjara.

See melanggar perintah tersebut dan dikehendaki menjalani hukuman penjara. 

Butiran mengenai kes nakal itu tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti