Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Premis masjid kekal selamat, beroperasi seperti biasa
Zaqy: Premis masjid kekal selamat, beroperasi seperti biasa
Premis Masjid Moulana Mohamed Ali yang terjejas akibat insiden kebakaran baru-baru ini kekal selamat dan beroperasi seperti biasa untuk kegunaan jemaah.
Jaminan tersebut diberikan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, melalui hantarannya di media sosial.
Dalam kiriman tersebut Encik Zaqy telah merakamkan penghargaan kepada polis serta orang awam yang telah bertindak pantas memadamkan api berkenaan.
“Saya faham kejadian sebegini boleh menimbulkan kebimbangan, terutama apabila ia berlaku di laluan masuk masjid.
“Keharmonian kaum dan agama yang telah lama kita nikmati di Singapura terbina hasil kepercayaan, persefahaman dan usaha bersama.
Marilah kita saling menjaga satu sama lain dan memelihara keharmonian ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, menggesa orang ramai agar terus tenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan perpaduan di negara ini.
“Keharmonian kaum dan agama di Singapura amat bernilai dan sukar dicapai.
“Tanpa mengira kaum atau kepercayaan, kita mesti terus bersatu padu, saling menjaga antara satu sama lain dan sentiasa waspada terhadap sebarang perkara yang boleh mengancam kepercayaan dan keamanan yang telah kita bina bersama,” kata Encik Zhulkarnain.
Anggota Majlis Penyelaras Harmony Circle, Encik Fazlur Rahman Kamsani, turut meluahkan rasa kesal atas tindakan tidak bertanggungjawab itu.
“Kita masih berdepan dengan tindakan tidak bertimbang rasa seperti ini yang membangkitkan sensitiviti agama di Singapura,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.