Topik diikuti
Pergi ke BHkuJemaah sambut baik reka bentuk, kemudahan masjid baharu di Tampines North
Jemaah sambut baik reka bentuk, kemudahan masjid baharu di Tampines North
Membesar di Tampines dan kini melihat keempat-empat anaknya turut membesar di estet kejiranannya itu, Encik Nor Shafik Ab Hamid, semakin teruja menantikan pembinaan masjid baharu di Tampines North menjadi kenyataan.
Apatah lagi, pembinaan masjid tersebut sebelum ini tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Sebelum ini, Encik Shafik, 43 tahun, kerap membawa anak-anaknya ke Masjid Darul Ghufran di Tampines Avenue 5.
Kini, beliau tidak sabar untuk menghidupkan suasana masjid baharu di Tampines North apabila ia dibuka pada 2029 kelak, memandangkan lokasinya lebih dekat dengan kediamannya.
Sebilangan penduduk Tampines yang ditemui Berita Harian (BH) di Masjid Darul Ghufran pada 20 November turut berkongsi keterujaan mereka terhadap reka bentuk dan kemudahan di masjid yang bakal dibina itu.
Reka bentuk masjid itu didedahkan buat julung-julung kalinya oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, pada 20 November.
Beberapa anggota jemaah meluangkan masa selepas solat Jumaat untuk meninjau ruang pameran di Darul Ghufran yang menampilkan kemudahan di masjid baharu di Tampines North itu, yang dirangka bagi memenuhi keperluan keluarga muda, golongan belia serta warga emas.
Antaranya, masjid baharu itu bakal dilengkapi dengan bilik penyusuan bayi, ruang jagaan kanak-kanak untuk keluarga, serta ruang khas bagi kegiatan dan pembelajaran belia di samping kemudahan mesra bagi golongan warga emas dan mereka yang menghadapi masalah bergerak.
Kemudahan tersebut dirangka berdasarkan maklum balas dan aspirasi yang dikongsi sekitar 700 individu, termasuk penduduk Tampines dan kumpulan kariah masjid.
Encik Shafik menyambut baik adanya lebih banyak ciri mesra keluarga, di samping kemudahan buat pelbagai generasi.
“Saya rasa ini inisiatif amat baik kerana ia dapat menarik lebih ramai orang ke masjid bukan sahaja bagi tujuan ibadah, tetapi aspek lain seperti programnya,” kata beliau.
Encik Mohamed Wasil, 23 tahun, berkongsi sentimen itu, sambil menambah bahawa masjid baharu itu mampu menarik keluarga muda di kejiranan Tampines North.
Selain reka bentuk yang moden, pelajar Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu juga amat mengalu-alukan ruang khas buat belia di masjid baharu itu.
Apatah lagi, beliau kini gemar berjumpa rakan-rakan di Masjid Darul Ghufran, yang turut mempunyai ruang khas bagi belia.
“Saya rasa ruang khas seperti ini yang serupa di masjid baharu mampu menarik lebih ramai belia meluangkan masa di masjid,” tambahnya.
Sementara itu, Encik Ismail Salleh, 67 tahun, yang telah lama menetap di Tampines, yakin pembukaan masjid di Tampines North merupakan langkah baik untuk mengurangkan kesesakan jemaah di Masjid Darul Ghufran.
Beliau yang baru mula menggunakan kerusi roda sekitar tiga bulan lalu akibat penyakit kencing manis, bersyukur lebih banyak masjid, termasuk yang bakal dibina itu, mudah diakses supaya anggota jemaah yang kurang upaya dapat memanfaatkan ruang masjid dengan sepenuhnya.