Masjid baru di Tampines North dijangka siap menjelang 2029, dengan Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) Masjid Darul Ghufran akan menjadi jawatankuasa yang menerajui pembangunan masjid baru itu, umum Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim.
Sementara itu, kerja peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu pula telah bermula sejak April dan dijangka selesai menjelang 2027, tambah Dr Faishal.
Bercakap demikian semasa lawatannya ke Masjid Alkaff Kampung Melayu pada 25 Julai bagi menunaikan solat Jumaat, Dr Faishal berkata beliau mengalu-alukan maklum balas daripada masyarakat dalam pembinaan masjid baru di Tampines North Drive 5 dan Tengah – dua masjid yang diumumkan pembinaannya pada awal 2025.
“Ini merupakan satu perkembangan yang dinanti-nantikan penduduk Islam di kawasan Tampines. Saya mengalu-alukan kerjasama kita dalam membina sebuah masjid yang akan dimanfaatkan generasi sekarang dan masa depan,” ujarnya.
Kerja pembinaan masjid baru di Tampines itu akan bermula pada pertengahan 2027, manakala lakaran reka bentuk masjid itu akan bermula pada akhir 2025.
Dr Faishal turut mengumumkan jawatankuasa yang akan menerajui pembinaan masjid tersebut. Ia terdiri daripada 15 LPM Masjid Darul Ghufran, termasuk Pengerusi Eksekutif Masjid (MEC), Ustaz Firdaus Khan Jamal Khan.
Ini merupakan kali pertama sebuah masjid dibina dan diterajui oleh LPM masjid sedia ada, bukan oleh Jawatankuasa Pembinaan Masjid (JPM) seperti lazimnya.
Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), walaupun selepas tempoh perkhidmatan mereka berakhir – iaitu tempoh biasa perkhidmatan selaku LPM – usaha tersebut akan diteruskan anggota LPM baru.
Ia adalah pendekatan baru yang dilakukan Muis untuk menyesuaikan diri dengan zaman moden dan memanfaatkan sumber yang ada.
Dr Faishal menyifatkan LPM itu sebagai jawatankuasa berpengalaman dan mempunyai kepakaran yang mendalam, terutama sekali mengenai perihal penduduk di Tampines.
“Masjid Darul Ghufran telah membangun dengan baik dan juga mempunyai sukarelawan yang berpengalaman serta kepakaran yang mendalam.
“Saya yakin mereka boleh melaksanakan kerja ini dengan baik bersama Muis dan sokongan para penduduk di Tampines,” tambahnya.
Sentimen itu dikongsi Ustaz Firdaus yang turut berkata mereka akan sentiasa bertemu dengan penduduk Tampines untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai pembinaan masjid baru itu.
“Ini akan membantu jawatankuasa kami untuk memberi pandangan dalam melakar rancangan serta pembangunan masjid yang bakal dibina dengan lebih baik lagi, dan diharap dapat memenuhi pelbagai keperluan masyarakat dengan lebih berkesan,” katanya sambil menambah masjid di Tampines North akan melengkapi peranan Masjid Darul Ghufran, demi memenuhi keperluan masyarakat di sana.
Ketika lawatannya ke Masjid Alkaff Kampung Melayu, Dr Faishal turut beramah tamah dengan jemaah serta meninjau kerja peningkatan yang dijalankan di sana.
Kerja peningkatan di Masjid Alkaff Kampung Melayu dianggarkan menelan belanja sekitar $15 juta dan masih memerlukan dana $7.5 juta lagi.
Masjid yang dibina pada 1995 melalui Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) itu, sudah mula menjalani kerja peningkatan pada April dan dijangka selesai pada 2027 melalui dua fasa.
Menurut kenyataan Muis pada 25 Julai, antara ciri terbaru masjid itu ialah ia mampu menampung sehingga 3,200 anggota jemaah, berbanding 3,000 sekarang ini.
Sepanjang tempoh kerja peningkatan, masjid akan terus beroperasi untuk solat harian dan solat Jumaat, dengan ruang terhad bagi sekitar 1,000 jemaah.
Ciri terbaru masjid yang terletak di Bedok Reservoir itu akan memberi tumpuan kepada kemudahan akses dan pengoptimum ruang.
“Reka bentuk dan prasarana sedia ada perlu diperbaharui dan dioptimumkan agar dapat memberikan khidmat yang lebih baik kepada jemaah kita yang kian bertambah dan golongan warga emas,” kata Muis.
Beberapa kemudahan terbaru termasuk meluaskan dewan solat utama di tingkat satu dengan ruang tambahan di tepi masjid, penambahan bilik darjah moden serta pejabat pentadbiran, penyegaran semula penampilan luar bangunan serta pemasangan lif bagi meningkatkan kemudahan.
Sebagai sebahagian usaha mengumpul dana, Masjid Alkaff Kampung Melayu akan meneruskan inisiatif seperti ceramah agama, kempen amal dan tabung derma di pelbagai masjid di seluruh Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg