Jenama China semakin mengukuhkan kedudukan di Singapura, dengan kehadirannya kian ketara dalam pasaran tempatan sepanjang 2025.

Dapatan kajian terkini yang dikeluarkan akhbar harian berbahasa Cina, Lianhe Zaobao, pada 1 Oktober menunjukkan 87 peratus penduduk Singapura sedar tentang kemasukan jenama dari China ke pasaran tempatan sepanjang 2025.

Malah, seramai 69 peratus menyatakan mereka bertembung dengan jenama itu sekurang-kurangnya sekali seminggu dalam kehidupan harian mereka, sama ada menerusi iklan, kedai fizikal, aplikasi mudah alih mahupun media sosial.

Tinjauan sulung itu dijalankan secara dalam talian oleh firma penyelidikan Milieu dari 5 hingga 18 Ogos, yang meninjau seramai 1,000 rakyat serta penduduk Singapura berusia 16 tahun ke atas.

Penyelidikan itu bertujuan mengkaji tahap kesedaran awam, persepsi, serta sejauh manakah jenama China mempengaruhi tingkah laku pembelian dan corak penggunaan masyarakat tempatan, kata Zaobao dalam kenyataan mereka.

Dalam sektor elektronik dan teknologi, jenama seperti Xiaomi mendahului dengan tahap kesedaran tertinggi sebanyak 93 peratus, diikuti oleh Huawei (92 peratus) dan Oppo (90 peratus).

Bagi wadah e-dagang dan pembayaran digital pula, Lazada mencatatkan 83 peratus, Alipay (80 peratus), dan TikTok Shop (76 peratus).

Pertumbuhan pesat itu turut dirasai dalam sektor makanan dan minuman (F&B) serta automotif.

Ia termasuk Chagee dan Luckin Coffee, yang masing-masing mencatatkan tahap kesedaran tinggi sebanyak 86 peratus.

Manakala dalam sektor kenderaan elektrik (EV), jenama BYD mendominasi pasaran dengan 85 peratus penduduk mengenali jenama berkenaan.

Kajian tersebut turut mendapati jenama China dilihat telah mengubah landskap peruncitan, dengan 66 peratus responden berpandangan jenama berkenaan menawarkan nilai yang baik bagi wang yang dibelanjakan.

Lebih setengah daripada responden turut akur kehadiran jenama China memberikan kepelbagaian produk dan perkhidmatan dalam pasaran, manakala 48 peratus mendapati persaingan sengit membawa kepada tawaran harga yang baik.

Secara keseluruhan, 56 peratus responden kini mempunyai tanggapan kian positif terhadap jenama China berbanding pada 2024.

Ini meskipun isu mutu produk (52 peratus) dan kebolehpercayaan (49 peratus) kekal sebagai cabaran dan halangan utama yang membuatkan sebahagian pengguna masih berwaspada sebelum membuat pembelian.

Mengulas mengenai dapatan kajian tersebut, Timbalan Ketua Editor Chinese Media Group, Cik Loh Woon Yen, menegaskan persepsi pengguna terhadap barangan buatan China kini telah berubah.

Malah, jenama China tidak lagi dilihat sebagai alternatif murah dari segi harga, sebaliknya semakin mengukuhkan kedudukan sebagai pemain penting dalam pasaran tempatan dan mencetuskan persaingan yang lebih sengit.

“Dapatan kajian ini menunjukkan jenama China tidak lagi dianggap sekadar alternatif berharga murah, malah kini menjadi bahagian penting yang kian kukuh dalam pasaran serta membawa persaingan yang lebih sengit.

“Pada masa yang sama, keterserlahan tidak secara automatik bermakna kesetiaan pengguna.

“Pengguna masih mempunyai keraguan mengenai mutu dan kebolehpercayaan jangka panjang, dan jenama China perlu memenangi kepercayaan mereka.

“Kami merancang untuk menjalankan tinjauan ini secara tahunan bagi melihat bagaimana persepsi dan tabiat pembelian berubah,” tambah beliau.