Topik diikuti
Pergi ke BHkuEV bentuk sekitar 60% pendaftaran kereta baru di S’pura
EV bentuk sekitar 60% pendaftaran kereta baru di S’pura
Syarikat gergasi China, BYD paling laris, daftar 3,239 unit, atau hampir 25 peratus pendaftaran
EV bentuk sekitar 60% pendaftaran kereta baru di S’pura
Kenderaan elektrik (EV) membentuk 57.6 peratus daripada 13,322 kereta baru yang didaftarkan dalam tiga bulan pertama 2026, dan buat kali pertama di Singapura, ia mengatasi jumlah model enjin pembakaran dalaman dan hibrid.
Ini merupakan lonjakan besar berbanding 45 peratus yang dicatat pada 2025; 18.1 peratus pada 2023; 11.7 peratus pada 2022; dan hanya 3.8 peratus pada 2021.
Dalam suku pertama 2026, sebanyak 7,679 kereta elektrik baru didaftarkan di Singapura.
Syarikat gergasi China, BYD, mendaftarkan 3,239 unit, atau hampir satu daripada empat (24.3 peratus) jumlah pendaftaran, mengukuhkan kedudukannya daripada bahagian pasaran 21.2 peratus pada akhir 2025.
Berdasarkan data pendaftaran Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang diterbitkan pada 24 April, tiga jenama China lain – Chery (ketujuh), GAC (kelapan) dan MG (kesembilan) – menyertai BYD buat kali pertama dalam senarai 10 jenama kereta terlaris di Singapura, mengambil tempat beberapa jenama Korea Selatan dan Jepun.
Walaupun mempunyai pilihan EV yang terhad, Toyota mengekalkan kedudukan keduanya dengan 1,932 pendaftaran dan bahagian pasaran 14.5 peratus dalam suku pertama 2026 – mencatat peningkatan 0.3 mata peratusan berbanding 2025.
Jenama EV Amerika, Tesla, menguasai 11.4 peratus pasaran dengan 1,515 pendaftaran, menjadikannya jenama ketiga terlaris di Singapura, naik daripada kedudukan keenam pada 2025.
Mercedes-Benz berada di tempat keempat, menguasai 6.4 peratus jumlah pasaran kereta; manakala BMW berada di tempat kelima, menguasai 6.2 peratus; apabila kedua-dua jenama Jerman itu bertukar kedudukan berbanding 2025.
Honda pula tergelincir satu kedudukan ke tempat keenam dengan bahagian pasaran 5.1 peratus, manakala Nissan mengakhiri senarai 10 teratas di tempat ke-10 dengan bahagian pasaran 2.6 peratus.
Di bawah skim semasa yang bertujuan mengurangkan kos pembelian EV, pengguna boleh mendapat rebat sehingga $30,000 daripada cukai kenderaan awal.
Sebaliknya, kenderaan bukan EV boleh dikenakan penalti sehingga $35,000 berdasarkan tahap pelepasan mereka.
Jenama EV China juga berjaya memanfaatkan sistem Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dengan menawarkan model yang sesuai dalam kategori COE Kategori A, yang lazimnya lebih murah berbanding COE Kategori B.
