Peruncit kesihatan dan kesejahteraan British, Holland & Barrett, telah menutup semua 12 cawangannya di Singapura, menamatkan operasinya di sini selepas hampir 20 tahun.
Penutupan itu diumumkan secara rasmi di laman Instagramnya pada 10 Mac, walaupun dipercayai bahawa cawangan fizikal di pelbagai pusat beli-belah mula ditutup seawal 6 Mac, lapor The Straits Times (ST).
Ketika ST melawat lima cawangan pada hari itu – Takashimaya Shopping Centre, 313@somerset, Isetan Scotts, Suntec City dan Nex – rak kedai sudah dikosongkan atau pekerja sedang mengemas barang.
Cawangan di Nex ditutup sepenuhnya pada 7 Mac.
Cawangan AMK Hub meletakkan notis pada 7 Mac, memaklumkan penutupannya dan mengarahkan pelanggan ke hollandandbarrett.com untuk berita terkini.
Pada hari yang sama, seorang pekerja Holland & Barrett berkata di Facebook bahawa penutupan itu mengejutkan dan berlaku terlalu pantas, menyifatkannya sebagai “mimpi ngeri” selepas 12 tahun bekerja.
Seorang pelanggan tetap juga mendakwa mereka tidak dimaklumkan lebih awal.
Seorang pelanggan yang memperbaharui keahliannya yang bernilai $88 setahun dan menerima dua baucar $150 setiap satu meluahkan rasa tidak puas hati di laman Complaint Singapore pada 4 Mac, mendakwa Holland & Barrett tidak sepatutnya menerima keahlian 2025 jika sudah merancang untuk tutup.
Beliau mula curiga pada 3 Mac apabila stok tidak ditambah, dan pekerja juga tidak dapat memberikan maklumat lanjut.
Ketika ditanya ST, beliau belum membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Singapura (CASE), kerana lebih bimbang tentang kebajikan pekerja.
Pertanyaan kepada Holland & Barrett Singapore pada 6 Mac mengenai penutupan itu dan pekerja terjejas masih belum dijawab setakat 10 Mac.
ST menghubungi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Jay Gee Enterprises, syarikat induk MA Supplements yang membawa jenama itu ke Singapura pada 2009.
Pada 7 Mac, e-Gazette pemerintah mengumumkan MA Supplements, yang membawa jenama itu ke Singapura pada 2009, tidak dapat meneruskan operasi kerana masalah kewangan.
Deklarasi pada 4 Mac itu menandakan langkah pertama untuk menutup perniagaan, dengan mesyuarat bersama pemiutang dijadualkan pada 18 Mac.
Rekod MA Supplements di Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) menunjukkan syarikat itu sudah dalam proses pembubaran sejak 4 Mac.
Pada kemuncaknya, Holland & Barrett memiliki 27 cawangan di Singapura menurut The New Paper pada April 2014, menjual vitamin, suplemen, makanan organik dan produk kesihatan lain.
Ditubuhkan pada 1870, jenama itu bermula sebagai kedai runcit sebelum beralih kepada makanan kesihatan dan suplemen. Kini, ia memiliki 1,368 cawangan di 16 negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg