Seramai 100 individu diberkas dalam operasi antidadah di serata Singapura pada Julai, dengan dadah bernilai lebih $34,000 dirampas.

Dalam satu kenyataan pada 17 Julai, Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata operasi yang dijalankan dari 12 hingga 17 Julai itu meliputi beberapa kawasan termasuk Boon Lay, Ghim Moh, Jurong, Kallang, Tampines, Tengah, Toa Payoh dan Woodlands.

Secara keseluruhan, pihak berkuasa merampas kira-kira 859 gram ganja, 120 gram heroin, 85 gram Ice, 3 gram pil Ecstasy, dua pil Erimin-5 serta wang tunai berjumlah $252.75.

Menurut CNB, jumlah ganja, heroin dan Ice yang dirampas itu berpotensi membekalkan dadah kepada 228 penyalah guna dadah selama seminggu.

Salah satu kes melibatkan seorang lelaki warga Singapura berusia 28 tahun, yang diberkas pada 14 Julai, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mengedar dadah.

Bertindak atas maklumat yang diterima, pegawai CNB memeriksa motosikal lelaki itu yang diletakkan di Woodlands Street 13, selain menggeledah unit kediamannya di Segar Road.

Hasil pemeriksaan tersebut, pegawai CNB menemui dan merampas kira-kira 689 gram ganja, sembilan gram Ice serta peralatan berkaitan penyalahgunaan dadah di unit kediaman tersebut.

Dalam satu lagi operasi pada 16 Julai, sembilan lelaki warga Bangladesh, berusia antara 22 dengan 40 tahun, diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah di sebuah asrama pekerja asing di Jurong.

Operasi itu turut melibatkan pegawai daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kastam Singapura dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Daripada sembilan lelaki itu, tiga diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan mengedar dan mengambil dadah. Dalam operasi tersebut, kira-kira 15 gram ganja turut dirampas.

CNB mengingatkan orang ramai adalah menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang untuk mengedar, menawarkan untuk mengedar, atau membantu serta menawarkan bantuan bagi mengedar dadah terkawal.

Sesiapa yang didapati bersalah mengedar lebih 500 gram ganja boleh dikenakan hukuman mati.

Siasatan masih dijalankan.