Dua orang dikejarkan ke hospital selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kereta dan satu motosikal di Ekspreswe Kranji (KJE) pada 13 Ogos.
Ketika dihubungi, polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kemalangan di ekspreswe menuju Tuas itu sekitar 5.25 petang.
Menurut The Straits Times, dua wanita – seorang penumpang kereta berusia 47 tahun dan penunggang motosikal berusia 29 tahun – didapati dalam keadaan sedar apabila SCDF membawa mereka ke Hospital Besar Ng Teng Fong.
Tidak segera diketahui bagaimana nahas itu boleh berlaku.
Seorang pemandu kereta lelaki berusia 51 tahun sedang membantu siasatan, tambah polis.
Menurut laporan 2024 mengenai keadaan trafik jalan raya tahunan, polis berkata jumlah kemalangan membabitkan penunggang motosikal meningkat 4.7 peratus – daripada 3,792 kes pada 2023 kepada 3,969 kes pada 2024.
Bilangan penunggang dan pembonceng motosikal yang terlibat dalam nahas jalan raya turut meningkat 4.7 peratus, daripada 4,303 orang pada 2023 kepada 4,507 orang pada 2024.
Meskipun motosikal hanya membentuk 14.7 peratus daripada jumlah kenderaan di Singapura pada 2024, penunggang motosikal atau pembonceng terlibat dalam 55.2 peratus daripada semua kemalangan jalan raya pada tahun sama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg