Seorang penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan yang melibatkan lori dan treler di Ekspreswe Kranji (KJE) pada pagi 23 Oktober.
Apabila dihubungi, pihak polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkongsi bahawa mereka dimaklumkan tentang kemalangan tersebut yang berlaku sebelum laluan keluar Senja Road menghala ke Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), pada sekitar 7 pagi.
Menurut polis, seorang penunggang motosikal lelaki berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik, dan seorang pemandu lori berusia 24 tahun ditahan atas kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu secara cuai.
Dalam satu video yang dikongsi di Facebook, beberapa penunggang motosikal dilihat menunggang di lorong pertama dan kedua ekspreswe.
Sebuah lori yang ada di lorong pertama sedang cuba beralih ke lorong kiri dan melanggar motosikal mangsa.
Mangsa hilang kawalan motosikalnya itu dan terjatuh ke laluan treler yang ketika itu berada di lorong kedua.
Siasatan masih sedang dijalankan.
Pada 2023, jumlah penunggang dan pembonceng motosikal yang maut menyumbang kepada separuh daripada semua kematian kemalangan jalan raya, dengan 68 nyawa terkorban, menurut angka yang dikeluarkan oleh polis.
Secara keseluruhan, 4,290 penunggang dan pembonceng motosikal cedera dalam kemalangan pada 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg