Dua lelaki ditahan dan empat lagi dibawa ke hospital selepas pergaduhan didakwa berlaku di luar sebuah hotel di Orchard Road pada awal pagi 2 Julai.

Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan berhampiran persimpangan Orchard Road dan Buyong Road pada sekitar 3 pagi.

Apabila pegawai polis tiba, mereka menemui empat lelaki, kesemuanya berusia 38 tahun, cedera di tempat kejadian.

Tiga daripada mereka mengalami luka manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan. Mereka dibawa ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dalam keadaan sedar.

Menerusi siasatan lanjut, dua lelaki, berusia 25 dan 27 tahun, ditahan kerana secara sengaja mencederakan orang lain menggunakan cara bahaya. Lelaki berusia 27 tahun itu kemudiannya turut dibawa ke hospital yang sama dalam keadaan sedar.

Polis turut merampas sebilah pisau.

Serangan itu didakwa berlaku di luar Hotel Concorde Singapura.

Dua kumpulan orang dikatakan telah bergaduh di luar kelab malam Candy Lounge, yang mereka kunjungi. Ketika pergaduhan berlaku, seorang individu didakwa ditikam di leher. 

Semakan pada laman media sosial kelab malam itu menunjukkan ia beroperasi setiap hari dari 10 malam hingga 3 pagi, dengan waktu operasi dilanjutkan sehingga 4 pagi pada Sabtu dan cuti umum.

Apabila The Straits Times (ST) tiba di tempat kejadian pada sekitar 9.20 pagi, tiada sebarang tanda kehadiran pegawai polis atau SCDF. Laluan trafik di sekitar persimpangan itu berjalan lancar.

Dua pemilik kedai berkata mereka tidak menyedari kejadian itu berlaku dan tidak dimaklumkan oleh pihak keselamatan. 

Mereka membuka kedai masing-masing di Orchard Plaza, yang terletak berhampiran persimpangan itu, seperti biasa pada 9 pagi.

Jenayah fizikal, seperti kes ganas yang melibatkan pisau, semakin meningkat di Singapura, dengan 75 insiden berkaitan pisau dilaporkan pada separuh pertama 2025, meningkat berbanding 59 kes dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Siasatan polis masih berjalan.