Dua lelaki telah didakwa pada 9 November dengan tuduhan membunuh selepas terlibat dalam satu pergaduhan di Chin Swee Road, yang mengakibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun meninggal dunia.
Tan Boon Hui, 58 tahun, dan Poh Choon Kiat, 59 tahun, dituduh membunuh lelaki itu setelah bergaduh di tingkat 17 Blok 51 Chin Swee Road antara 1 pagi dengan 3 pagi pada 8 November.
Tan dan Poh dikemukakan tuduhan itu menerusi pautan video pada 9 November, lapor The Straits Times (ST).
Tan, yang dirawat di wad Hospital Besar Changi, tampil depan kamera sambil berbaring di katil dan mengenakan pendakap leher.
Pihak pendakwa meminta dia ditahan selama seminggu untuk membantu dalam siasatan dan supaya tertuduh boleh dibawa kembali ke tempat kejadian.
Tan, yang bercakap dalam bahasa Mandarin, memberitahu mahkamah menerusi jurubahasa bahawa kakinya bengkak dan dia tidak boleh bergerak.
Hakim memberitahunya dia boleh mendapatkan rawatan daripada doktor di hospital.
Poh pula muncul di kamera menggunakan kemeja polo merah dan ditahan di lokasi berbeza.
Tertuduh berkata dia tidak mempunyai apa-apa untuk dikatakan setelah tuduhan dibacakan.
Polis berkata sebelum ini mereka menerima panggilan meminta bantuan di Blok 51 Chin Swee Road sekitar 3.10 pagi.
Apabila polis tiba, mangsa ditemui terbaring cedera di luar unit flatnya di tingkat 17 dan beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH), dan kemudian meninggal dunia di sana.
Tiga lelaki, termasuk Tan dan Poh, ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.
Poh didakwa melakukan kesalahan dadah yang akan dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB).
Lelaki ketiga, yang merupakan rakan mangsa, tidak didakwa.
Beliau sedang membantu dalam siasatan setelah ditangkap kerana terlibat dalam pergaduhan itu.
Polis berkata mangsa ditikam dan dua pisau ditemui dan dirampas.
Kes Tan dan Poh dijangka dibicarakan semula pada 14 November.
Jika disabit kesalahan membunuh, mereka berdepan hukuman mati.
Polis sebelum ini melaporkan peristiwa melibatkan senjata tajam meningkat pada separuh pertama 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Laporan separuh tahun yang dikeluarkan pada 26 Ogos menunjukkan terdapat 75 kes berkaitan pisau, meningkat daripada 59 kes pada separuh pertama 2024.
Secara keseluruhan, jenayah fizikal meningkat sebanyak 5.4 peratus, dengan 10,341 kes dilaporkan dari Januari hingga Jun, berbanding 9,809 kes pada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg