Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PCG pintas dua kapal nelayan Indonesia di perairan S’pura pada 24 Dis

Kededua bot diarah beredar selepas memasuki perairan dekat Tuas
Jan 2, 2025 | 10:59 PM
Kapal rondaan Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura mendekati rombongan nelayan Indonesia yang memancing ikan dalam kawasan perairan wilayah Singapura bersebelahan dengan Tuas pada 24 Disember 2024.
Kapal rondaan Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura mendekati rombongan nelayan Indonesia yang memancing ikan dalam kawasan perairan wilayah Singapura bersebelahan dengan Tuas pada 24 Disember 2024. - Foto TANGKAP LAYAR SINDONEWS / YOUTUBE

Dua kapal nelayan Indonesia telah dipintas dalam perairan wilayah Singapura berhampiran Tuas oleh bot Polis Pengawal Pantai (PCG) pada 24 Disember 2024, dan dinasihatkan agar meninggalkan kawasan itu.

Menjawab pertanyaan media, polis berkata pada 2 Januari bahawa mereka akur mengenai laporan media dan video yang memaparkan nelayan Indonesia sedang menangkap ikan dalam perairan Singapura.

Menurut polis, pegawai PCG menyedari, sekitar jam 8.45 pagi sehari sebelum Hari Natal, bahawa beberapa kapal nelayan Indonesia beberapa kali keluar masuk perairan Singapura.

PCG telah mengerahkan botnya di kawasan itu untuk “menghalang dan menghentikan kapal yang tidak dibenarkan daripada memasuki (perairan Singapura)”.

Pada sekitar 1.20 tengah hari pada hari yang sama, para pegawai tersebut melihat dua daripada sekumpulan lima kapal nelayan Indonesia telah memasuki lebih jauh ke perairan Singapura, menuju ke barat laut ke arah Tuas View Extension.

Sebuah bot PCG memintas kedua-dua kapal itu untuk menghalang mereka daripada bergerak lebih jauh ke perairan Singapura.

Polis berkata: “Pegawai PCG kemudian mendekati nelayan di kapal nelayan itu dalam (perairan Singapura) dan menasihatkan mereka agar beredar, memandangkan kapal yang tidak dibenarkan dilarang memasuki kawasan itu.

“Mereka akhirnya akur dan meninggalkan (perairan Singapura) sekitar 1.40 tengah hari.”

Satu laporan Indonesia mengenai kejadian itu menyatakan bahawa salah seorang nelayan telah terjatuh ke laut semasa bot mereka didekati PCG, tetapi tiada seorang pun warga Indonesia yang cedera.

Laporan itu menyatakan pengerusi persatuan nelayan Indonesia tidak berpuas hati dengan tindakan PCG semasa insiden tersebut.

Polis berkata pada 2 Januari bahawa Konsulat Singapura di Batam telah menghubungi pelbagai pihak berkepentingan Indonesia mengenai kejadian itu, atas permintaan mereka, dan akan terus berbuat demikian.

Pihak polis juga menggesa kapal asing supaya mematuhi arahan pihak berkuasa Singapura apabila mereka berada dalam perairan Singapura.

“PCG akan terus melaksanakan tugasnya dalam (perairan Singapura) secara profesional dan selamat,” tambah kenyataan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg