Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun didakwa di mahkamah selepas lima kali ditangkap oleh pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) kerana menghisap rokok elektronik, atau ‘vape’.
Atas kesalahannya itu, mahkamah memerintahkan remaja itu ditempatkan di Singapore Boys’ Home, sebuah pusat pemulihan budak dan remaja lelaki, selama 24 bulan, mulai 21 Julai.
Menurut kertas pertuduhan, remaja lelaki itu ditangkap memiliki dua ‘vape’ di restoran McDonald’s di pusat beli-belah Nex pada 19 Mac 2024.
Dia juga ditangkap menggunakan vape pada empat kejadian berasingan dari Februari hingga Oktober 2024 di Sin Ming Avenue, di 201 Serangoon Central dan di kolong sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Sumang Walk di Punggol.
HSA berkata pada 24 Julai bahawa remaja lelaki itu juga menghadapi 15 pertuduhan lain daripada Pasukan Polis Singapura apabila dia dibawa ke mahkamah pada 21 Julai.
The Straits Times (ST) telah menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertuduhan yang dia hadapi.
Dalam kenyataan akhbar pada April 2024, Kementerian Kesihatan (MOH) dan HSA berkata Kementerian Pendidikan (MOE) akan dimaklumkan apabila pelajar ditangkap kerana kesalahan ‘vape’ di luar persekitaran sekolah.
Sebagai tambahan kepada penalti yang dikenakan oleh HSA, pihak sekolah akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar yang ditangkap menghisap ‘vape’, seperti penggantungan atau rotan bagi pelajar lelaki.
Satu kajian oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) yang diterbitkan pada Jun menunjukkan bahawa walaupun Singapura mengharamkan sepenuhnya ‘vape’ sejak 2018, namun penggunaannya dalam kalangan belia telah meningkat.
Pada 2024, terdapat 2,000 kes melibatkan pelajar, termasuk dari institut pengajian tinggi, yang dilaporkan memiliki atau menggunakan ‘vape’. Ini meningkat daripada 800 kes pada 2022, dan 900 kes pada 2023.
Mereka yang memiliki, menggunakan atau membeli ‘vape’ boleh dikenakan denda maksimum $2,000.
Sesiapa yang mengedar, mengimport atau menjual ‘vape’ dan komponennya boleh dipenjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga $10,000.
Mereka yang memerlukan bantuan untuk berhenti menggunakan ‘vape’ boleh menyertai program I Quit HPB dengan menghubungi QuitLine di 1800-438-2000.
Peserta program tidak perlu bimbang didakwa kerana ia tidak menganggap mereka menggunakan atau telah menggunakan produk ‘vape’.
Mulai 21 Julai, HSA telah melanjutkan waktu operasi talian hotline untuk melaporkan kesalahan berkaitan ‘vape’.
Talian itu kini beroperasi dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, termasuk cuti umum.
HSA juga telah melancarkan portal baru untuk melaporkan kesalahan berkaitan ‘vape’ di www.go.gov.sg/reportvape.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg