Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura mahu senaraikan etomidate sebagai dadah terlarang, ditemui dalam 1 daripada 3 ‘vape’

Jul 20, 2025 | 5:21 PM
Penyenaraian etomidat di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) bermakna mereka yang memiliki, menyalahgunakan atau menjual ‘vape’ dengan kandungan etomidate akan dilayan sama seperti mereka yang mengambil dadah seperti pil Erimin-5.
Penyenaraian etomidat di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) bermakna mereka yang memiliki, menyalahgunakan atau menjual ‘vape’ dengan kandungan etomidate akan dilayan sama seperti mereka yang mengambil dadah seperti pil Erimin-5. - Foto ST

Pihak berkuasa sedang berusaha untuk menyenaraikan etomidate, yang ditemui dalam sesetengah ‘vape’, sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 20 Julai.

Ini bermakna penyalah guna dan pengedar ‘Kpod’ – iaitu ‘vape’ yang mengandungi etomidate – boleh dikenakan tindakan sama seperti mereka yang menyalahgunakan atau mengedar dadah seperti nimetazepam, juga dikenali sebagai Erimin-5, dengan arahan pemulihan wajib dan hukuman penjara bagi pesalah berulang.

Sekarang ini, etomidate disenaraikan di bawah Akta Racun.

Di bawah undang-undang itu, penyalah guna hanya dikenakan denda, manakala penjual boleh dihukum penjara hingga dua tahun.

Namun dengan trend yang semakin membimbangkan melibatkan ‘vape’ yang mengandungi etomidate, Encik Ong berkata tindakan lebih tegas kini perlu diambil.

Ini akan dilakukan dalam beberapa minggu akan datang dan merupakan langkah sementara sehingga pindaan undang-undang lanjut boleh diambil untuk menangani isu ‘vape’ di negara ini.

Kementerian Kesihatan (MOH) sedang bekerjasama dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam usaha ini.

Langkah itu menyusuli penemuan bahawa satu daripada tiga ‘vape’ yang dirampas pihak berkuasa baru-baru ini didapati mengandungi etomidate.

Bercakap di sisi sebuah acara masyarakat di Sembawang pada 20 Julai, Encik Ong berkata satu pertiga daripada lebih 100 ‘vape’ yang dirampas dalam operasi penguatkuasaan dan diuji secara rambang, didapati mengandungi bahan tersebut.

Menurut beliau, sebelum ini, ‘vape’ lazimnya mengandungi nikotin.

“Namun sekarang, ia mengandungi pelbagai bahan, daripada nikotin kepada bahan psikoaktif seperti etomidate, dan juga dadah berbahaya yang diharamkan di bawah MDA.

“Apabila situasi sudah sampai ke tahap ini, ia memerlukan usaha seluruh pemerintah untuk menguatkuasakan tindakan terhadapnya,” ujar beliau.

Etomidate ialah ramuan perubatan yang digunakan dalam sekitaran klinikal sebagai agen anestetik atau ubat bius dan disenarai sebagai racun di bawah Akta Racun.

Ia bertujuan untuk disuntik terus ke dalam urat di bawah pengawasan klinikal dan tidak pernah dimaksudkan untuk disedut terus ke dalam paru-paru.

Apabila seseorang menggunakan ‘vape’ yang mengandungi bahan itu, ia boleh mencetuskan kekejangan, kesukaran bernafas, sawan dan psikosis.

Encik Ong juga mengesahkan bahawa berlaku beberapa kematian di sini yang dikaitkan dengan penyalahgunaan bahan tersebut.

“Kami telah melihat beberapa kematian – kemalangan jalan raya serta kematian luar biasa – yang dikaitkan dengan etomidate... ia adalah masalah yang serius,” tegasnya.

Langkah menyenaraikan etomidate di bawah MDA bermakna penyalah guna bahan tersebut boleh dikenakan pengawasan dan dihantar ke pusat pemulihan dadah, ujarnya.

Encik Ong menggesa mereka yang menggunakan ‘Kpod’ supaya berhenti segera.

‘Kpod’ dilaporkan diedarkan di Singapura oleh kumpulan jenayah dan pihak berkuasa kini sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadapnya.

Institusi penjagaan kesihatan awam juga telah diarah mencatat semua kes berkaitan ‘Kpod’.

Di bawah undang-undang, sesiapa yang didapati bersalah memiliki, menggunakan atau membeli ‘vape’ boleh dikenakan denda hingga $2,000.

Sesiapa yang didapati bersalah mengedar, mengimport atau menjual ‘vape’ dan komponennya boleh dipenjara hingga enam bulan dan didenda hingga $10,000.

Mereka yang didapati bersalah memiliki atau menggunakan pod yang mengandungi etomidate pula boleh dipenjara hingga dua tahun dan didenda hingga $10,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg