Tujuh orang, termasuk dua kanak-kanak, dibawa ke hospital pada petang 5 Julai berikutan insiden sambaran petir di pantai Pasir Ris.

Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an disambar petir ketika melakukan aktiviti air di kawasan pantai tersebut, dan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke hospital, lapor The Straits Times (ST).

Lelaki berkenaan merupakan antara lapan individu yang sedang berkayak dan mendayung papan paddle board di pantai itu.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pada 5 Julai bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai insiden tersebut pada sekitar 4.50 petang.

Menurut SCDF, seorang individu telah dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke Hospital Besar Sengkang.

Empat lagi individu dibawa dalam keadaan sedar ke hospital yang sama.

Dua kanak-kanak lain pula dibawa dalam keadaan sedar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Gambar-gambar yang dirakamkan oleh akhbar harian berbahasa Cina, Lianhe Zaobao, menunjukkan sebuah kenderaan polis berada di pantai berhampiran tempat letak kereta D di Taman Pasir Ris pada 6.30 petang.

BH sudah menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat lanjut.