Pesalah seks kanak-kanak asal Singapura, Amos Yee, kini berada dalam tahanan Penguatkuasa Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat dengan berkemungkinan menghadapi pengusiran dari negara itu.
Semakan di laman web agensi itu pada 24 November menunjukkan dia ditahan di Pusat Tahanan Dodge di Wisconsin, empat jam perjalanan dari negeri Illinois – tempat dia menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan berkaitan pornografi kanak-kanak dan pengantunan (grooming) seksual kanak-kanak sebelum dibebaskan dengan parol pada 20 November.
Menurut The Straits Times (ST), tidak jelas bila dia dibawa ke pusat tahanan ICE.
Menurut laman web ICE, seseorang individu itu ditahan untuk “memastikan kehadiran mereka untuk prosiding imigresen atau pengusiran dari Amerika.
Semakan di laman maklumat kes automatik Pejabat Eksekutif Amerika untuk Semakan Imigresen juga tidak menunjukkan bila kes Yee akan didengar di mahkamah imigresen.
Yee akan menghadapi tuduhan di Singapura jika dia kembali ke negara ini.
Kementerian Pertahanan (Mindef) memberitahu ST dia akan didakwa di bawah Akta Pendaftaran, kerana gagal melaporkan diri bagi pemeriksaan perubatan prapendaftaran bagi perkhidmatan negara (NS) dan kekal di luar negara tanpa permit keluar sah.
Melanggar peraturan pendaftaran boleh mengakibatkan pesalah didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga tiga tahun, atau kededuanya.
Dia telah memasuki Amerika pada Disember 2016 untuk mendapatkan suaka selepas bertelagah berulang kali dengan undang-undang di Singapura atas komen kontroversi yang menghina penganut Kristian dan Muslim.
Yee telah diberikan suaka pada Mac 2017, walaupun mendapat tentangan daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS, dan dibebaskan daripada tahanan pada September tahun yang sama.
Namun, dia mendapati dirinya dalam kancah masalah sekali lagi selepas didakwa oleh juri di mahkamah Illinois pada 2020 kerana meminta dan memiliki pornografi kanak-kanak.
Dia telah bertukar-tukar gambar bogel dan mesej dengan seorang gadis berusia 14 tahun dari Texas semasa berada di Chicago, dan dijatuhkan hukuman pada 2 Disember 2021.
Setelah hampir separuh menjalani hukuman penjara enam tahun, dia dibebaskan dengan parol pada 7 Oktober 2023, tetapi ditangkap semula pada bulan berikutnya.
Meskipun punca di sebalik penahanan semulanya tidak diketahui, namun adalah dipercayai dia telah melanggar syarat parolnya, yang termasuk sekatan seperti tidak dibenarkan menggunakan Internet tanpa kelulusan daripada jabatan pemulihan negeri.
Ini selain tidak dibenarkan berada berhampiran tempat di mana kanak-kanak berada, melainkan jabatan itu memberinya kebenaran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg