Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bahan racun ‘etomidate’ dikesan dalam contoh darah 2 terlibat nahas di Punggol

Polis temui 42 ‘vape’ dan lebih 1,200 kapsul di dalam kereta, dengan sebahagian mengandungi bahan tersebut dalam nahas pada Mei
Jul 25, 2025 | 5:44 PM
etomidate, kemalangan, nahas, Punggol Road, HSA, kereta
Kereta yang dipandu seorang lelaki dan dinaiki penumpang wanita, bertembung dengan sebuah bas dalam satu nahas jalan raya di Punggol Road pada 13 Mei 2025. - Foto SHIN MIN DAILY

Bahan racun, ‘etomidate’ telah dikesan dalam sampel darah dua individu yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Punggol Road pada Mei, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 25 Julai.

Kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas dalam kejadian sekitar 1.50 petang pada 13 Mei itu.

Menurut The Straits Times, polis menemui 42 ‘vape’ dan lebih 1,200 kapsul di dalam kereta.

Ujian HSA mendapati beberapa daripadanya mengandungi ‘etomidate’.

Pemandu lelaki berusia 30 tahun itu dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital.

Penumpangnya, seorang wanita berusia 28 tahun, dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke hospital. Beliau meninggal dunia kemudian.

“Pemandu sedang membantu polis dan HSA dalam siasatan berhubung kemalangan itu dan kesalahan berkaitan ‘vape’,” kata HSA.

‘Etomidate’, ejen anestetik atau ubat bius, dibenarkan hanya bagi tujuan klinikal dan tertakluk kepada syarat ketat, menurut HSA.

Pada 20 Julai, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sedang berusaha menyenaraikan bahan tersebut di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), di tengah-tengah trend peningkatan penggunaan ‘vape’ yang mengandungi dadah itu.

Ini bermakna penyalah guna dan pengedar ‘Kpod’ – iaitu rokok elektronik atau ‘vape’ yang mengandungi ‘etomidate’ – boleh dikenakan tindakan sama seperti mereka yang menyalahgunakan atau mengedar dadah seperti, nimetazepam, juga dikenali sebagai Erimin-5.

Menurut Encik Ong, usaha itu bakal dilakukan dalam beberapa minggu akan datang dan merupakan langkah sementara sehingga pindaan undang-undang dibuat untuk menangani isu ‘vape’ di negara ini.

“‘Etomidate’ yang terdapat dalam ‘vape’ atau dibekalkan dalam bentuk kapsul minyak atau rumusan untuk disedut terus ke dalam paru-paru, bukanlah produk perubatan dan dilarang,” kata HSA dalam kenyataannya.

Apabila digunakan dalam ‘vape’, ‘etomidate’ boleh menyebabkan pergerakan tidak terkawal atau kekejangan otot, kekeliruan, sawan dan psikosis.

Ia juga boleh menyebabkan pergantungan fizikal atau ketagihan, tambah HSA.

‘Etomidate’ kini disenaraikan di bawah Akta Racun. Penyalah guna berdepan dengan denda dan penjual boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Dengan ‘etomidate’ disenaraikan di bawah MDA pada masa depan, ia akan membolehkan HSA mengambil tindakan lebih tegas terhadap pembekal dan pengguna ‘vape’ yang mengandungi ‘etomidate’.

Pengguna boleh tertakluk kepada pengawasan atau dihantar ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC).

Mereka yang melakukan kesalahan berulang atau melakukan kesalahan serius lain juga boleh dipenjara sekurang-kurangnya setahun.

“HSA memberi amaran kepada mereka yang menggunakan ‘vape’ supaya segera menghentikannya serta-merta,” kata kenyataan itu.

Mereka yang memiliki, menggunakan atau membeli ‘vape’ boleh dikenakan denda maksimum $2,000.

Sesiapa yang mengedar, mengimport atau menjual ‘vape’ dan komponennya boleh dipenjarakan sehingga enam bulan dan didenda sehingga $10,000 bagi kesalahan pertama.

Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga setahun dan denda sehingga $20,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg