Budak hilang di Sungai Kallang: Usaha cari Daniel diteruskan
Budak hilang di Sungai Kallang: Usaha cari Daniel diteruskan
Dikhuatiri lemas, ibu saudara berkata Daniel tidak biasa memancing
Usaha mencari seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang hilang di Sungai Kallang disambung semula sekitar 7 pagi pada 26 Februari, lebih 16 jam selepas dia dilaporkan hilang.
Operasi mencari dan menyelamat telah digantung pada lewat 25 Februari apabila keadaan menjadi terlalu gelap untuk berbuat demikian.
Awal dari itu, polis berkata ia menerima aduan mengenai kes orang yang disyaki lemas di Sungai Kallang sekitar 4.30 petang pada hari yang sama. Tiada perbuatan jenayah disyaki, kata polis lagi.
Menambah, polis berkata ia sedang mengadakan operasi mencari budak lelaki itu bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Beberapa ahli keluarga dilihat berada di tempat kejadian - kawasan sungai bersebelahan flat HDB 8B Upper Boon Keng Road - semasa Berita Harian (BH) berada di tempat kejadian sekitar 6 pagi pada 26 Februari.
Mereka kelihatan berada dalam keadaan amat sedih, tetapi seorang wanita, yang berkata beliau ibu saudara kanak-kanak itu memberitahu BH budak lelaki itu bernama Daniel.
Beliau, yang enggan namanya disiarkan berkata Daniel anak kedua antara tiga adik-beradik dan dianggap sebagai ‘penyejuk’ hati keluarga kerana pandai memujuk mereka.
Menurut wanita itu, beliau rapat dengan Daniel dan belum dapat memproses insiden itu dengan betul.
“Dia satu-satunya yang selalu memujuk kami apabila kami berasa resah,” kata beliau yang bersama empat ahli keluarga lain sedang melakukan pencarian sendiri di kawasan itu.
Wanita itu juga memberitahu BH keluarga Daniel tahu kanak-kanak itu keluar bersama-sama rakan-rakannya. Daniel tidak biasa pergi memancing, kata beliau.
Akhbar Cina, Lianhe Zaobao, pada 25 Februari melaporkan kanak-kanak itu sedang memancing apabila dia terjatuh ke dalam sungai.
“Kami hanya mengharap orang ramai dapat mendoakan keselamatan Daniel dan keluarga kami pada ketika ini,” ujar wanita itu lagi.

